Selepas gandum, India hadkan pula eksport gula

Selepas gandum, India hadkan pula eksport gula

Penghantaran akan dihadkan kepada 10 juta tan untuk tahun pemasaran semasa hingga September.

India adalah pengeluar gula terbesar dunia dan pengeksport nombor dua selepas Brazil. (Gambar AP)
NEW DELHI:
India memaklumkan sudah mengehadkan eksport gula bagi melindungi bekalannya serta mengawal inflasi, beberapa hari selepas menyekat eksport gandum yang menyebabkan harga global melonjak susulan perang di Ukraine.

Pengeluar gula terbesar dunia dan pengeksport nombor dua selepas Brazil itu semalam berkata penghantaran akan dihadkan kepada 10 juta tan untuk tahun pemasaran semasa hingga September.

Kementerian Makanan India dalam kenyataannya berkata, “Keputusan itu diambil bertujuan menjamin bekalan domestik serta memastikan kestabilan harga sepanjang musim gula,” kata Kementerian Makanan India dalam kenyataan.

Katanya, eksport gula dijangka mencapai rekod tertinggi tahun ini, dengan kontrak ditandatangani untuk kira-kira sembilan juta tan dan 7.8 juta tan sudah dihantar.

Memetik inflasi dan keperluan sekuriti makanannya, pada pertengahan Mei, India mengharamkan sebarang eksport gandum baharu tanpa kelulusan kerajaan, ekoran cuaca panas yang menjejaskan tuaiannya.

Walaupun India adalah peserta kecil dalam pasaran global, namun langkah itu mencetuskan lonjakan harga makanan global yang sudah melambung tinggi sejak pencerobohan Russia ke atas kuasa pertanian Ukraine Februari lalu, negara yang menyumbang 12% daripada eksport global.

Keputusan itu juga mencetuskan kebimbangan kepada usaha perlindungan yang semakin meningkat berikutan konflik itu.

Larangan eksport juga menyebabkan ratusan ribu tan gandum terkandas di pelabuhan utama di barat India, dengan ribuan trak berbaris panjang bagi menunggu untuk bekalan dipunggah.

Pihak berkuasa menegaskan permintaan gandum atas persetujuan kerajaan kepada kerajaan (G2G) dari negara lain yang bergelut dengan kenaikan harga yang tinggi akan dibenarkan.

Di negara Asia lain, Indonesia menghentikan sementara eksport minyak sawit dan Malaysia pula menyekat eksport ayam segarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.