
Jabatan Meteorologi Thailand memaklumkan taufan dengan kelajuan angin kira-kira 150km/j itu dijangka bertukar kepada ribut tropika dan melanda beberapa kawasan selepas bergerak ke timur laut Thailand pada Rabu.
Jabatan itu memaklumkan ribut tropika disertai monsun barat daya melanda Laut Andaman, selatan Thailand dan Teluk dengan membawa hujan lebat ke Utara, Timur Laut, dan bahagian Tengah termasuk Bangkok dan kawasan sekitarnya, manakala membadai Timur dan Selatan pada Rabu hingga 1 Okt.
Semua wilayah berkenaan dijangka dilanda angin kencang di beberapa kawasan.
“Orang ramai harus mengambil langkah berjaga-jaga susulan kejadian banjir kilat dan limpahan air yang mungkin berlaku terutama di sepanjang sungai berhampiran kaki bukit dan tanah pamah.
“Penduduk di sepanjang persisiran pantai juga dinasihatkan untuk berhati-hati,” menurut jabatan itu dalam kenyataan.
Jabatan Meteorologi menasihatkan semua kapal agar tidak turun ke laut mulai hari ini hingga Sabtu (1 Okt) ini.
“Angin kencang mengakibatkan ombak setinggi 2 hingga 3m di Laut Andaman dan sekitar Teluk, manakala ombak melebihi 3m jika berlaku ribut petir,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengambil langkah berjaga-jaga termasuk pelepasan air daripada terusan serta 2.5 juta beg pasir digunakan bagi mengukuhkan tembok bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Media sebelum ini melaporkan bahawa lima anggota penyelamat di Filipina maut akibat taufan Noru melanda utara negara itu, menyebabkan kejadian banjir dan berjuta-juta orang terputus bekalan elektrik.