Rusuhan besar di Pakistan bantah penyingkiran Imran Khan

Rusuhan besar di Pakistan bantah penyingkiran Imran Khan

Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan membatalkan kelayakan Imran Khan menyebabkan bekas perdana menteri itu tidak boleh menjawat jawatan kerajaan.

Imran Khan disingkirkan daripada jawatan perdana menteri pada April lalu menerusi undi tidak percaya di Parlimen.
NEW DELHI:
Rusuhan tercetus di banyak lokasi di Pakistan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu hari ini membatalkan kelayakan bekas perdana menteri Imran Khan untuk memegang jawatan kerajaan.

Satu panel yang diketuai Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Sikander Sultan Raja membatalkan kelayakan ketua pembangkang itu kerana membuat “kenyataan palsu dan pengisytiharan tidak benar” mengenai hadiah negara dan menjual sebahagian barangan itu ketika berkuasa.

Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dipimpin Imran menyeru penyokong keluar ke jalan raya bagi membantah keputusan itu, meningkatkan konfrontasi lebih meluas antara penyokongnya dan kerajaan gabungan yang berusia enam bulan diketuai Perdana Menteri, Shehbaz Sharif.

Imran disingkirkan pada April lalu menerusi undi tidak percaya di Parlimen yang diusulkan oleh satu parti perikatan dikenali sebagai Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM).

Beliau sebelum ini sering menyerang ketua Suruhanjaya Pilihan Raya kerana berat sebelah terhadap partinya.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan kelayakan Imran itu tidak mengejutkan kerana pemimpin PTI sebelum ini menuduh kerajaan berusaha menghalang beliau daripada bertanding pada pilihan raya umum pada 2023.

Imran sebelum ini juga mendesak pilihan raya umum segera diadakan.

Pemimpin kanan PTI, Fawad Chaudhry keputusan itu akan menyebabkan Imran disingkirkan daripada penggal Dewan Kebangsaan.

“Pembatalan kelayakan sama ada separa atau penuh itu tidak dapat diterima. Rakyat menolak keputusan ini. Revolusi sudah bermula,” kata Fawad dalam kenyataan di Twitter.

Seorang lagi pemimpin PTI, Asad Umar berkata, keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya itu akan dicabar di mahkamah dan impian untuk menyingkirkan Imran tidak akan menjadi kenyataan.

Terdapat spekulasi beberapa pemimpin berkuasa tentera mungkin bertolak ansur terhadap PTI tanpa Imran yang menggesa Pakistan mencapai satu dasar luar yang bebas.

Sokongan yang semakin meningkat terhadap bekas perdana menteri itu juga dilihat sebagai membimbangkan oleh sebahagian pesaingnya.

Bantahan dilaporkan tercetus di banyak bandar termasuk Islamabad, Lahore, Rawalpindi, Faisalabad dan Peshawar lapor stesen televisyen ARY.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.