Yoon alu-alukan Musk bina loji EV di Korea Selatan

Yoon alu-alukan Musk bina loji EV di Korea Selatan

Ketua pegawai eksekutif Tesla itu sedang mempertimbangkan Korea Selatan sebagai antara lokasi pelaburan teratas.

Yoon Suk Yeol dan Elon Musk mengadakan pertemuan maya pada Rabu selepas Musk membatalkan perjalanannya ke Bali, Indonesia, awal bulan ini, di mana mereka dijadualkan bertemu secara bersemuka.
SEOUL:
Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol mengalu-alukan pembinaan loji kenderaan elektrik (EV) di Korea Selatan ketika mengadakan pertemuan maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk pada Rabu.

Yoon berkata demikian selepas Musk menjelaskan rancangan Tesla untuk membina sebuah kilang mega di Asia bagi menghasilkan EV, dan beliau memberi tindak balas yang positif, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan media pejabat presiden.

“Presiden Yoon menjelaskan ekosistem industri auto dan pelaburan bertaraf dunia di Korea Selatan, dan meminta beliau melabur di negara itu,” menurut kenyataan itu.

“Musk berkata, beliau sedang mempertimbangkan Korea Selatan sebagai antara lokasi pelaburan teratas dan merancang untuk membuat keputusan semakan menyeluruh mengenai keadaan pelaburan di negara Asia, termasuk kemahiran manusia dan teknologi, serta persekitaran pengeluaran mereka

Musk juga berkata Tesla adalah antara pembeli utama alat ganti terbaik buatan Korea Selatan bagi produk pemanduan autonomi dan kecerdasan buatan serta menyatakan komitmen untuk melabur dalam infrastruktur pengecasan EV Korea Selatan.

Beliau menganggarkan jumlah pembelian alat ganti daripada Korea Selatan akan melebihi USD10 bilion tahun depan.

Yoon turut memuji Musk atas kejayaannya dalam industri EV dan angkasa lepas, sambil berkata Korea Selatan sedang berusaha untuk membangunkan industri angkasa lepas dari semua segi.

Beliau menyentuh mengenai kejayaan pelancaran roket angkasa lepas Nuri buatan Korea pada Jun dan meminta kerjasama antara SpaceX Musk dan firma angkasa Korea Selatan dipertingkatkan.

“Presiden Yoon berkata bahawa jika terdapat peraturan tidak munasabah yang menghalang pelaburan firma inovasi teknologi tinggi global di Korea Selatan, beliau akan memindanya supaya selaras dengan piawaian global,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan maya itu diadakan selepas Musk membatalkan perjalanannya ke Bali, Indonesia, awal bulan ini, di mana kedua-duanya dijadualkan bertemu secara bersemuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.