Tekanan harga EV berisiko jejaskan sektor automotif negara, kata pemain industri

Tekanan harga EV berisiko jejaskan sektor automotif negara, kata pemain industri

FMM beri amaran pemain sedia ada dalam rantaian bekalan tempatan berisiko tersingkir akibat persaingan asing sekali gus menyebabkan kehilangan pekerjaan secara besar-besaran.

tyre factory
Pembekal, vendor dan PKS seperti pengeluar tayar menjadi komponen penting dalam ekosistem kenderaan elektrik yang menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 700,000 orang. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Membenarkan pengeluar kenderaan elektrik (EV) menentukan harga sendiri boleh membawa risiko ‘sangat nyata’ kepada ekosistem automotif negara, menurut Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Menurutnya, langkah itu berisiko menyebabkan pemain asing menawarkan harga EV lebih kompetitif menguasai bahagian pasaran yang besar untuk membina keseluruhan ekosistem bagi memenuhi keperluannya.

Presiden FMM, Jacob Lee, berkata keadaan itu boleh menekan pemain dalam ekosistem tempatan yang telah lama wujud, seperti pembekal, vendor dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jelasnya, keadaan itu berisiko menyebabkan kehilangan pekerjaan memandangkan sektor terbabit sangat bergantung kepada rantaian bekalan automotif.

Jacob Lee
Jacob Lee.

“Industri automotif Malaysia dibangunkan atas ekosistem yang saling berkait rapat dan telah berkembang selama beberapa dekad,” katanya.

Ketika ini, keseluruhan ekosistem itu melibatkan kira-kira 700,000 pekerja, ramai daripadanya bekerja di firma kecil dan sederhana yang berkemungkinan sukar untuk terus bertahan sekiranya aktiviti bernilai tinggi seperti penyelidikan serta pembangunan dipindahkan ke luar.

Lee memberi amaran jika dasar terlalu cepat beralih kepada memberi akses pasaran kepada pemain asing tanpa keperluan pembangunan yang mencukupi, aktiviti bernilai tinggi boleh terpinggir — menyebabkan firma tempatan kekal dalam pekerjaan berkemahiran rendah.

“Pendekatan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) mengiktiraf perlindungan pekerjaan paling berkesan dicapai melalui pengekalan dan peningkatan ekosistem pembuatan, bukan sekadar bergantung kepada aktiviti pemasangan atau pengedaran di peringkat hiliran,” katanya.

“Ini memberikan nilai lebih besar kepada industri pembuatan tempatan, khususnya dari segi peningkatan kemahiran, pemindahan teknologi dan penciptaan pekerjaan,” katanya.

Seorang sumber industri yang enggan dikenali berkata, risiko itu bukanlah sesuatu yang boleh diketepikan dan pekerja dalam rantaian bekalan automotif tempatan mungkin menjadi golongan pertama terkesan sekiranya Malaysia hanya menjadi pusat pemasangan.

“Sebaliknya pengeluar kereta tempatan walaupun bekerjasama dengan rakan asing berasaskan ekosistem tempatan lebih kukuh boleh menyokong ratusan vendor tempatan.

“Selain mempunyai tahap penyetempatan melebihi 75%, serta menyumbang kepada peluang pekerjaan, pembangunan PKS dan keupayaan industri secara keseluruhan,” katanya.

Selasa lalu, Miti mempertahankan syarat dikenakan terhadap pelaburan asing baharu dalam sektor EV Malaysia, dengan menyatakan ia bertujuan menyokong pembangunan industri jangka panjang, bukan menyekat kemasukan pemain asing.

Menterinya Johari Ghani berkata, pengeluar automotif China, BYD, telah diberikan lesen pembuatan sementara pada September 2025 bagi cadangan loji pemasangan di Tanjung Malim, berdasarkan model pengeluaran berorientasikan eksport yang selaras dengan Dasar Automotif Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Johari menegaskan, pendekatan Miti bukan bersifat perlindungan, sebaliknya berorientasikan pembangunan.

Katanya, pelaburan tanpa komitmen eksport yang jelas atau pelan penyetempatan hanya memberikan manfaat terhad kepada ekosistem automotif tempatan.

Beliau turut berkata, Putrajaya sedang mengkaji semula kerangka harga EV semasa, termasuk harga minimum RM100,000 bagi kenderaan import yang bersifat sementara sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mengutamakan pemasangan tempatan dan pembuatan bernilai tinggi berbanding kebergantungan jangka panjang kepada import.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan BYD untuk menilai semula cadangan pembinaan loji pemasangan di Tanjung Malim, dengan alasan syarat yang terlalu ketat.

Antara syarat dasar Malaysia ialah harga minimum RM100,000 bagi kereta baharu dan sekurang-kurangnya 80% pengeluaran mesti untuk pasaran eksport.

Dalam satu rencana pendapat di FMT semalam, ahli ekonomi Jamil Ghani berkata perbincangan mengenai EV negara kini terlalu tertumpu kepada aspek kemampuan harga.

Beliau memberi amaran perkara itu boleh menyebabkan kepentingan ekonomi sektor itu secara keseluruhan terlepas pandang.

Walaupun harga lebih rendah penting untuk menggalakkan penggunaan oleh pengguna, katanya, pembuat dasar juga perlu mengambil kira peranan industri automotif yang lebih luas, termasuk menyokong pekerjaan dalam rangkaian vendor yang besar serta menyumbang kira-kira 4% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Beliau berkata, perhatian juga perlu diberikan kepada aspek pengeluaran dalam ekosistem itu di mana ribuan pekerja bergantung kepada rangkaian pengeluar, pembekal dan tenaga kerja mahir yang telah lama wujud di negara ini.

Sumber industri itu turut menyatakan pelaburan asing semasa dalam sektor EV di Malaysia berisiko menjadikan negara ini sebagai hab pemasangan bernilai rendah, terutama jika penyetempatan aktiviti bernilai tinggi tidak diperkukuh.

Keadaan ini, katanya, boleh mengehadkan penciptaan pekerjaan dan menyempitkan peluang untuk pemain tempatan.

“Pendekatan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) oleh BYD ketika ini banyak bergantung kepada aktiviti pemasangan. Banyak komponen utama, termasuk struktur utama, dihasilkan di luar negara dan dibawa masuk ke Malaysia untuk pemasangan akhir,” katanya.

“Ini bermakna Malaysia hanya memperoleh manfaat daripada aktiviti pemasangan, sedangkan sebahagian besar pembuatan bernilai tinggi dan pengeluaran komponen masih berlaku di luar negara.

“Perbezaan utama bukan pada pemasangan tetapi sejauh mana rantaian bekalan, keupayaan dan nilai diwujudkan serta dikekalkan di Malaysia,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.