Sheikh Ahmad Nawaf dilantik semula sebagai PM Kuwait

Sheikh Ahmad Nawaf dilantik semula sebagai PM Kuwait

Pelantikan dibuat menerusi Dekri Diraja yang ditandatangani oleh Putera Mahkota Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.

Sheikh Ahmad Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah, anak sulung kepada Emir Kuwait, pertama kali dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Julai 2022. (Gambar AFP)
BANDARAYA KUWAIT:
Sheikh Ahmad Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah dilantik semula sebagai Perdana Menteri Kuwait, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Kuwait.

Pelantikan itu dibuat menerusi Dekri Diraja yang ditandatangani oleh Putera Mahkota Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.

Berikutan itu, Sheikh Ahmad Nawaf bertanggungjawab untuk mencalonkan anggota Jemaah Menteri yang baharu, menurut laporan itu.

Dekri itu dikeluarkan kira-kira seminggu selepas Emir Kuwait menerima peletakan jawatan kerajaan terdahulu dan dibuat seminggu sebelum anggota Dewan Negara yang baharu dipilih pada 20 Jun.

Pada 6 Jun, rakyat Kuwait mengundi untuk memilih ahli Perhimpunan Kebangsaan ke-17. Seramai 50 Ahli Parlimen dipilih daripada 207 calon dalam badan perundangan baharu itu untuk tempoh empat tahun.

Sheikh Ahmad Nawaf, 56, ialah anak sulung kepada Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah.

Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan komander Pengawal Kebangsaan Kuwait antara November 2020 dan Mac 2022 dan pertama kali dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Julai 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.