Hubungan sulit, 2 ahli parti pembangkang Singapura letak jawatan

Hubungan sulit, 2 ahli parti pembangkang Singapura letak jawatan

Parti Pekerja Singapura berkata dua pemimpin itu meletak jawatan susulan satu rakaman video mengenai hubungan mereka tular minggu lalu.

Ahli Parlimen Parti Pekerja Singapura, Leon Perera dan pemimpin kanan parti itu Nicole Seah dilaporkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing.
SINGAPURA:
Parti Pekerja Singapura (WP) mengumumkan peletakan jawatan Ahli Parlimennya Leon Perera dan pemimpin kanan parti Nicole Seah.

Dalam kemas kini terbaharunya di Facebook rasmi, WP menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu dibuat berikutan bukti rakaman video mengenai “hubungan tidak wajar mereka muncul awal minggu ini.”

“Walaupun parti amat kesal dengan kehilangan dua ahli yang berpengalaman, tindakan ini perlu untuk memenuhi piawaian tinggi Parti.

“Seperti yang digariskan dalam perlembagaan parti, ahli dikehendaki jujur dan berterus terang dalam hubungan mereka dengan parti dan rakyat Singapura,” menurut kenyataan yang dikeluarkan WP.

Parti pembangkang itu pada Isnin menyatakan bahawa ia sedia maklum mengenai video klip yang tersebar di media sosial dan sedang meneliti perkara itu.

Perera ialah Ahli Parlimen bagi kawasan perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied manakala Seah adalah calon pilihan raya umum 2020.

Kemaskini itu juga turut melampirkan kenyataan Setiausaha Agung WP Pritam Singh berkaitan perkara itu.

Menurut Pritam, beliau menerima surat peletakan jawatan Seah pada 18 Julai dan menerima surat peletakan jawatan Perera berkuat kuasa hari ini.

“Perera memaklumkan kepada pemangku speaker Parlimen bahawa beliau akan meletakkan jawatan di Parlimen,” kata Pritam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.