Rahim Thamby Chik letak jawatan ketua Bersatu Melaka

Rahim Thamby Chik letak jawatan ketua Bersatu Melaka

Rahim Thamby Chik turut melepaskan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan ahli Jawatankuasa Pengukuhan Parti.

Rahim Thamby Chik
Bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik berkata peletakan jawatan itu dibuat atas prinsip pertanggungjawaban moral dan politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Melaka, Rahim Thamby Chik melepaskan jawatan ketua Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Beliau turut melepaskan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan ahli Jawatankuasa Pengukuhan Parti.

“Keputusan ini dibuat atas prinsip pertanggungjawaban moral dan politik,” katanya dalam kenyataan.

Perkembangan itu menyusul beberapa pemimpin Bersatu Melaka meletak jawatan, termasuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

Rahim berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa parti di peringkat pusat serta mengambil kira suara dan aspirasi akar umbi.

Susulan itu, katanya, jawatankuasa bahagian, Pemuda, Wanita, Srikandi Muda, Bersekutu serta semua cawangan di bawah pentadbiran lima bahagian Melaka dibubarkan serta-merta.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebulat suara dan sukarela kerana keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti semakin terhakis.

Pembubaran itu membabitkan bahagian Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan tahniah kepada Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilantik pengerusi Perikatan Nasional dan berharap kepimpinan baharu dapat memperkukuh gerak kerja gabungan itu.

Bersatu ketika ini berdepan kemelut dalaman susulan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin, termasuk pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.