Singapura hukum gantung banduan ke-5 tahun ini kerana edar dadah

Singapura hukum gantung banduan ke-5 tahun ini kerana edar dadah

Ini menyusul kurang seminggu selepas Singapura menggantung tahanan wanita pertamanya dalam tempoh hampir 20 tahun.

Shalleh Adul Latiff ialah banduan ke-16 dihantar ke tali gantung sejak republik itu menyambung semula pelaksanaan hukuman mati pada Mac 2022. (Gambar Pixabay)
SINGAPURA:
Singapura menghukum gantung seorang lelaki berusia 39 tahun disabitkan bersalah mengedar heroin, menjadikannya hukuman gantung kelima di negara itu tahun ini dan ketiga dalam tempoh lebih seminggu, kata pihak berkuasa.

Shalleh Adul Latiff dijatuhkan hukuman mati kerana memiliki kira-kira 55g heroin “bagi tujuan pengedaran” pada 2019.

Hukuman itu dilaksanakan hari ini, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataan.

Menurut dokumen mahkamah, Shalleh merupakan pemandu penghantaran sebelum ditahan pada 2016. Semasa perbicaraan, dia mendakwa percaya dirinya menghantar rokok seludup untuk rakan yang berhutang dengannya.

Dia merupakan banduan ke-16 dihantar ke tali gantung sejak republik itu menyambung semula pelaksanaan hukuman mati pada Mac 2022, selepas penangguhan selama dua tahun ketika pandemik Covid-19.

Hukuman mati itu menyusul kurang seminggu selepas republik itu menghukum gantung wanita pertama dalam tempoh hampir 20 tahun kerana mengedar dadah, walaupun dikecam kumpulan hak asasi manusia.

Saridewi Djamani, warga Singapura berusia 45 tahun, dihukum gantung Jumaat lalu kerana mengedar kira-kira 30g heroin.

Seorang lagi warga tempatan, Aziz Hussain, 57, dihukum gantung dua hari lebih awal kerana mengedar kira-kira 50g heroin.

Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengecam hukuman gantung itu dan menggesa Singapura melaksanakan moratorium ke atas hukuman mati.

Singapura bagaimanapun menegaskan hukuman mati adalah pencegahan berkesan terhadap pengedaran dadah. Ia mempunyai undang-undang antidadah paling ketat di dunia – mengedar lebih 500g ganja atau lebih 15g heroin boleh dihukum mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.