Bersatu gantung Kiandee, Mas Ermieyati

Bersatu gantung Kiandee, Mas Ermieyati

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin berkata tidak akan merayu keputusan itu.

Ronald Kiandee dan Mas Ermieyati Samsudin
Ronald Kiandee dan Mas Ermieyati Samsudin digantung Bersatu.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin digantung keahlian berkuat kuasa hari ini.

Menurut notis dikeluarkan lembaga disiplin parti, dua pemimpin itu digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Kiandee yang memuat naik surat penggantungan itu di Facebook mempersoalkan keputusan parti yang hanya menggantung keahliannya, sambil mencabar kepimpinan parti memecatnya jika benar melakukan kesalahan serius.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, keputusan sekadar menggantung keahliannya menimbulkan tanda tanya, memandangkan beliau menganjurkan program ‘Reset’ diketuai Hamzah Zainudin yang dipecat parti 13 Feb lalu, selain menghadiri pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi di Bangkok.

Beliau juga menegaskan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan penggantungan itu.

“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat? Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja.

“Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat. Period,” katanya, sambil mendakwa keputusan itu menguatkan persepsi lembaga disiplin parti digunakan sebagai alat politik untuk melindungi presiden serta kelompok kecil di sekelilingnya.

Notis itu menyatakan penggantungan tersebut turut melucutkan semua jawatan dipegang Kiandee dan Mas Ermieyati, malah mereka tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama parti sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Radzi Manan itu memaklumkan mereka boleh mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Kiandee dan Mas Ermieyati diberikan surat tunjuk sebab pada 28 Feb lalu, dan diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab kerana melanggar perlembagaan dan disiplin parti susulan menghadiri program berkenaan.

Namun, mereka mengambil pendirian tidak menjawabnya.

Sementara itu, bercakap kepada FMT, Mas Ermieyati berkata sudah menjangkakan beliau tidak akan dipecat, sebaliknya hanya digantung oleh parti.

“Saya sudah jangka digantung dan tak akan dipecat, tapi ia tak memberi apa-apa kesan kepada saya. Perjuangan politik saya tetap diteruskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.