Israel guna bom fosforus bedil utara Gaza

Israel guna bom fosforus bedil utara Gaza

Senjata dilarang itu didakwa digunakan ke atas kem pelarian Jabalia.

Hospital dan kawasan berdekatannya di Gaza yang menjadi perlindungan rakyat Palestin menjadi sasaran utama serangan udara Israel. (Gambar Reuters)
TEHRAN:
Tentera Israel dilapor menggunakan bom fosforus dalam serangan terbaharunya di utara Semenanjung Gaza.

Israel menggunakan senjata yang dilarang itu dalam serangannya ke atas kem pelarian Jabalia, menyebabkan kebakaran bangunan kediaman di kawasan berkenaan, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Tentera penceroboh juga melakukan serangan di kawasan berhampiran Hospital Nasser di bandar Khan Yunis di selatan wilayah terkepung itu.

Hospital dan kawasan berdekatannya di Gaza yang menjadi perlindungan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal telah menjadi sasaran utama serangan udara Israel, sejak beberapa minggu lalu.

Selain menyebabkan kematian orang awam dalam jumlah yang besar, serangan udara berkenaan telah menyebabkan hospital tidak lagi berfungsi.

Israel melancarkan serangan berterusan ke atas Gaza sejak 7 Okt tahun lalu, membunuh hampir 25,000 penduduk setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Rejim itu juga telah mengenakan sekatan ke atas kemasukan makanan, air dan bekalan asas lain, memburukkan situasi kemanusiaan di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.