
Seorang pegawai Hamas berkata Israel menjadi punca tiada kemajuan dalam rundingan.
“Delegasi Hamas meninggalkan Kaherah pagi ini untuk berbincang dengan kepemimpinan pergerakan itu.
“Rundingan dan usaha masih diteruskan bagi menghentikan kekerasan, mengembalikan penduduk ke tempat mereka, dan membawa bantuan kemanusiaan kepada orang kami,” menurut kenyataan Hamas itu.
Bagaimanapun, pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata Israel “menjejaskan usaha” untuk memuktamadkan rundingan gencatan senjata yang melihat Qatar serta Mesir menjadi orang tengah sepanjang perbincangan empat hari di Kaherah.
Abu Zuhri memberitahu Reuters, Israel menolak tuntutan Hamas untuk menamatkan serangannya terhadap enklaf itu, menarik balik tenteranya, dan menjamin bantuan kemanusiaan bebas masuk, serta membenarkan penduduk pulang ke tempat mereka.
Israel tidak memberi sebarang ulasan.
Perunding Hamas, Qatar dan Mesir – tetapi bukan Israel – berusaha minggu ini untuk memuktamadkan gencatan senjata 40 hari sempena Ramadan yang bermula minggu depan.
Antara perkara yang dirundingkan termasuk bagi Hamas membebaskan segelintir tawanan Israel yang masih dalam tahanannya sejak serangan pada 7 Oktober lalu.
Tawanan Palestin di pihak Israel juga akan dibebaskan.
Hamas berjanji meneruskan rundingan Kaherah itu, tetapi pegawai kumpulan penentang itu berkata gencatan senjata perlu berkuat kuasa sebelum tebusan dibebaskan, manakala tentera Israel mesti meninggalkan Gaza dan semua penduduk Gaza dibenarkan pulang ke kediaman mereka.
Sumber sebelum ini berkata, Israel tidak menyertai rundingan di Kaherah itu kerana Hamas enggan memberikan senarai tawanan yang masih hidup. Hamas bagaimanapun berkata, ini mustahil dilakukan tanpa gencatan senjata memandangkan semua tawanan berada di pelbagai lokasi di sekitar zon perang.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza berkata jumlah kematian akibat serangan Israel kini melepasi 30,800. Sebanyak 83 kematian dilaporkan dalam 24 jam lalu, dan saksi berkata serangan Israel masih diteruskan di Khan Younis, Rafah serta beberapa kawasan di Gaza.