Sri Lanka tarik balik sekatan import kenderaan menjelang 2025

Sri Lanka tarik balik sekatan import kenderaan menjelang 2025

Negara itu mengenakan larangan itu susulan impak pandemik koronavirus diikuti krisis ekonomi.

IMF berkata Sri Lanka akan membenarkan import kenderaan penumpang awam bagi tujuan khas pada suku ketiga tahun ini. (Gambar fail)
COLOMBO:
Pihak berkuasa Sri Lanka merangka pelan hala tuju awal mengurangkan sekatan import kenderaan bermotor menjelang 2025, menurut laporan media tempatan memetik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Menurut IMF, pelan ini bermula dengan membenarkan import kenderaan penumpang awam, kenderaan bagi tujuan khas pada suku ketiga 2024, diikuti dengan kenderaan pengangkutan barang pada suku keempat tahun yang sama.

Menjelang 2025, Sri Lanka akan menarik balik sepenuhnya sekatan import ke atas semua kenderaan bermotor, lapor Xinhua memetik IMF.

Sri Lanka mengenakan larangan import kenderaan berikutan impak pandemik koronavirus pada 2021 dan 2022 dan keputusan itu diteruskan berikutan krisis ekonomi yang dihadapi oleh negara berkenaan.

Kerajaan Sri Lanka mengehadkan import 1,465 barangan pada Ogos 2022 berikutan krisis ekonomi, tetapi menarik balik sekatan ke atas kebanyakan barangan.

Data rasmi menunjukkan bahawa jumlah perbelanjaan import Sri Lanka pada 2022 mencecah lebih USD18 bilion, mencatatkan penurunan sebanyak 11.4% berbanding 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.