8 maut dalam pertempuran senjata di Kashmir

8 maut dalam pertempuran senjata di Kashmir

Dua askar dan enam militan maut dalam dua pertempuran senjata berasingan di daerah Kulgam.

India Kashmir fire
Pasukan bomba dan orang awam berusaha memadamkan kebakaran di Srinagar, Kashmir yang dikuasai India pada Jun lalu. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Dua askar dan enam suspek militan maut dalam dua pertempuran senjata berasingan di Kashmir yang ditadbir India hari ini.

Ketua Polis Kashmir, Vidhi Kumar Birdi memberitahu AFP, pihak berkuasa di wilayah dipertikaikan itu “melancarkan dua operasi berbeza” di perkampungan daerah Kulgam.

Katanya, dua anggota pasukan keselamatan terbunuh dan pertempuran berterusan di perkampungan Modergram serta Frisal Chinnigam.

“Kami menemui mayat dua militan dari Modergram dan empat lagi dari Frisal Chinnigam,” kata Birdi.

Ini insiden terbaru dalam serangan semakin meningkat di wilayah dipertikaikan itu.

India dan Pakistan berperang tiga kali untuk menguasai Kashmir yang majoritinya beragama Islam.

Kumpulan pemberontak melancarkan pemberontakan sejak 1989, menuntut kemerdekaan bagi wilayah itu atau bergabung dengan Pakistan.

Konflik itu meragut puluhan ribu nyawa orang awam, askar dan pemberontak.

Jun lalu, sembilan penganut Hindu India maut, manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah bas membawa mereka dari sebuah kuil di selatan Reasi.

Ia antara serangan paling maut dalam beberapa tahun ini dan yang pertama ke atas penganut Hindu di Kashmir sejak 2017, apabila lelaki bersenjata membunuh tujuh individu dalam satu lagi serangan hendap ke atas sebuah bas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.