4 maut, 9 cedera dalam insiden tembakan di sekolah

4 maut, 9 cedera dalam insiden tembakan di sekolah

Mangsa yang maut ialah dua pelajar dan dua guru di Apalachee High School di Barrow County, Georgia, Amerika Syarikat.

Insiden tembakan di kampus sebuah sekolah menengah di Georgia, Amerika Syarikat menyebabkan empat orang terbunuh manakala sembilan lagi cedera. (Gambar EPA Images)
NEW YORK:
Empat orang terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam insiden tembakan di kampus sebuah sekolah menengah di Georgia, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, menurut pihak berkuasa tempatan.

Mangsa yang maut ialah dua pelajar dan dua guru di Apalachee High School di Barrow County, Georgia kira-kira 70 kilometer (km) utara Atlanta, bandar terbesar di negeri itu.

Pengarah Biro Penyiasatan Georgia (GBI) Chris Hosey berkata suspek dikenal pasti sebagai Colt Gray, 14, seorang pelajar sekolah itu, lapor Xinhua.

Menurut Hosey, Gray melepaskan tembakan di sekolah berkenaan sejurus sebelum 10.30 pagi dan menyerah diri kepada polis.

Beliau berkata suspek akan didakwa atas tuduhan membunuh dan akan dibicarakan sebagai orang dewasa.

Hosey berkata siasatan turut meneliti setiap aspek berkaitan suspek dan hubungannya di sekolah itu.

Menurut beliau, sembilan orang yang cedera akibat terkena tembakan telah dibawa ke hospital manakala lima lagi individu turut dimasukkan ke hospital kerana mengalami gejala serangan panik.

Sementara itu, Presiden AS Joe Biden pada Rabu menyatakan bahawa beliau turut berkabung atas kematian mangsa.

“Apa yang sepatutnya menjadi musim kembali ke sekolah yang menggembirakan di Winder, Georgia kini bertukar menjadi satu lagi peringatan tentang bagaimana keganasan senjata api terus memecahbelahkan komuniti kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.