3 warga China ditahan guna pas palsu untuk mohon visa AS

3 warga China ditahan guna pas palsu untuk mohon visa AS

Serbuan semalam menemui Pas MM2H palsu dijual sehingga RM10,000 sekeping bagi mengaburi permohonan visa.

tiga warga China
Tiga warga China yang ditahan kerana menggunakan pas imigresen disyaki palsu bagi tujuan permohonan visa ke Amerika Syarikat. (Gambar Imigresen)
PETALING JAYA:
Imigresen menahan tiga warganegara China kerana menggunakan pas disyaki palsu sebagai dokumen sokongan bagi mendapatkan visa ke Amerika Syarikat.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata tangkapan melibatkan seorang lelaki dan dua wanita dalam operasi di Putrajaya semalam.

“Turut disita tiga pasport warganegara China yang mempunyai pelekat Pas Lawatan Sosial (Tanggungan) MM2H yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kegiatan itu dipercayai didalangi sindiket yang membekalkan pas jangka panjang palsu bagi tujuan menyokong permohonan visa ke Amerika Syarikat.

“Pas palsu itu dijual dengan dengan harga sehingga RM10,000 sekeping.

“Pas ini dipercayai digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan dan memudahkan tapisan permohonan visa,” katanya.

Menurutnya, tangkapan itu juga susulan kepada pembongkaran sindiket sama pada Oktober tahun lalu yang melibatkan enam warga China dan dua lelaki tempatan disyaki ejen.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata JIM turut menahan 11 lagi warga China dalam operasi di Selangor dan Kuala Lumpur kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pas penggajian.

“Serbuan di Dengkil membawa kepada penahanan lima individu yang disyaki mengoperasikan restoran tanpa pas sah, manakala di Kepong enam wanita ditahan kerana bekerja sebagai tukang urut.

“Mereka juga disyaki menyediakan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran antara RM100 hingga RM300 bagi setiap sesi,” katanya.

Zakaria berkata, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki bertindak sebagai majikan dan penjaga premis.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan peraturan berkaitan.

“JIM akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen termasuk pemalsuan dokumen dan penyeludupan migran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.