
Mangsa korban termasuk 29 dari wilayah Cao Bang, 45 dari wilayah Lao Cai dan 37 dari wilayah Yen Bai.
Pihak berkuasa tempatan wilayah Tuyen Quang pada Selasa malam mengesahkan benteng Sungai Lo yang merentasi komuniti Quyet Thang pecah akibat peningkatan paras air sungai, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Paras banjir di Sungai Merah, ibu negara Hanoi melepasi tahap amaran kedua daripada tiga tahap, menurut Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan pagi tadi yang turut mengeluarkan amaran paras air sangat tinggi di Sungai Thao, dengan air di beberapa batang sungai melimpahi tebing.
Menurut pusat itu, terdapat risiko banjir di kawasan rendah dekat sungai di kawasan utara, manakala banjir kilat dan tanah runtuh diramalkan berlaku di kawasan pergunungan.
Sementara itu, 46 orang diselamatkan daripada banjir kilat yang memusnahkan seluruh kampung Lang Nu di wilayah Lao Cai, utara Vietnam yang dihuni 158 penduduk.
VNA melaporkan pihak berkuasa di daerah Bao Yen mengesahkan 18 maut akibat bencana itu, 17 sedang menerima rawatan dan 77 lagi hilang setakat pagi tadi.
Banjir kilat akibat hujan lebat susulan Taufan Yagi itu melanda kira-kira 6 pagi Selasa menjejaskan semua 37 keluarga di kampung berkenaan.
Usaha menyelamat terganggu akibat hujan lebat berterusan dan risiko bencana menyebabkan trafik ke kawasan terpencil itu terputus, yang turut mengalami gangguan elektrik serta telekomunikasi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Lao Cai bersama tiga pasukan kecemasan dari hospital besar wilayah itu tiba di Bao Yen untuk membantu operasi menyelamat.
Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Lao Cai, Trịnh Xuan Truong melawat mangsa banjir kilat di hospital malam tadi dan mesyuarat tergempar diadakan selepas itu untuk usaha pemulihan berterusan.