
Pada masa sama, tiga hospital di utara Gaza diarahkan dikosongkan, yang disifatkan membahayakan nyawa pesakit, menurut pekerja perubatan.
Serangan udara yang turut mencederakan puluhan lain, berlaku di Deir Al-Balah, di mana sejuta orang berlindung selepas melarikan diri daripada pertempuran di pelbagai tempat lain, lebih setahun sejak perang tercetus.
Tentera Israel hari ini berkata telah melancarkan “serangan tepat ke atas pengganas” yang kononnya mempunyai pusat kawalan dan arahan di sekolah berkenaan.
“Ini satu lagi contoh penyalahgunaan sistematik Hamas terhadap infrastruktur awam, yang melanggar undang-undang antarabangsa,” dakwa kenyataan tentera itu.
Hamas menafikan tuduhan berkenaan.
Pekerja perubatan berkata, 54 orang turut cedera dalam serangan di sekolah itu.
Sementara itu, di utara Gaza, tentera Israel meneruskan serangan dimulakan enam hari lalu di Jabalia, serta Beit Hanoun dan Beit Lahiya.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 130 orang maut dalam operasi berkenaan setakat ini.
Menurut mereka, tentera Israel semalam memberi tempoh 24 jam untuk pesakit dan pekerja perubatan meninggalkan hospital Indonesia, Al-Awda, dan Kamal Adwan.
Hussam Abu Safiya, pengarah Hospital Kamal Adwan berkata, lapan pesakit kebanyakannya kanak-kanak berisiko sekiranya tentera memaksa mereka berpindah.
“Kanak-kanak ini cedera teruk dengan serpihan akibat serangan di seluruh bahagian atas badan dan otak. Semuanya dalam keadaan kritikal dan disambungkan dengan sistem oksigen,” katanya dalam rakaman video untuk media.
“Hospital juga semakin kehabisan bahan bakar, dan penjajah menyekat bekalan bahan bakar ke utara Gaza,” katanya.
Beliau merayu negara dunia mendesak Israel membenarkan pekerja perubatan di tiga hospital Gaza utara itu terus beroperasi.
“Pesanan kami adalah pesanan keamanan demi kanak-kanak ini.
“Kami menggesa negara dunia membolehkan kami terus (bekerja), dan membenarkan segala yang diperlukan supaya kami dapat menyediakan penjagaan kesihatan dengan selamat di utara Gaza,” katanya.