
“Kita memerlukan kayu dari Kanada, peralatan elektrik dari Mexico, aluminium, keluli, tembaga, dan perabot dari China,” katanya dalam temu bual bersama Politico, sebuah portal berita politik AS, lapor Xinhua.
“Semua komoditi ini, dan banyak lagi, dikenakan cukai paling tinggi yang pernah kita lihat,” katanya.
Beliau berkata, sebarang kelembapan aktiviti di pelabuhan itu akan memberi kesan besar kepada ekonomi kawasan Los Angeles.
“Pandangan saya, pada separuh kedua tahun ini…kita akan mula melihat penurunan dalam jumlah kargo. Saya jangkakan penurunan ini sekurang-kurangnya 10% di pelabuhan terbesar negara di Los Angeles,” katanya.
Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif baharu, melibatkan cukai asas 10% ke atas semua import bermula 5 April, serta kadar tarif lebih tinggi secara timbal balik ke atas rakan dagang yang mencatatkan defisit perdagangan terbesar dengan AS, berkuat kuasa 9 April.
Tarif baharu itu termasuk duti tambahan sebanyak 24% ke atas Jepun, 25% ke atas Korea Selatan, dan 34% ke atas China. Selain itu, tarif ke atas China itu ditambah pula dengan tarif 20% yang sebelum ini dikenakan Trump ke atas negara itu berhubung isu fentanyl, menjadikan kadar tarif keseluruhan ke atas China mencecah 54%.
Pelan tarif Trump telah mencetuskan pembelian panik dalam kalangan peniaga yang cuba mempercepatkan penghantaran barangan dari luar negara sebelum tarif baharu itu berkuat kuasa.
Situasi ini menyaksikan Pelabuhan Los Angeles dan Long Beach mencatatkan rekod baharu dalam jumlah trafik kargo pada November lalu susulan lonjakan aktiviti pengimportan.