
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2026 MoF, tarif itu dijangka mengurangkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.76% tahun depan, dengan kesan langsung pada 0.15% dan kesan tidak langsung 0.61%.
Eksport serta import barangan dan perkhidmatan negara dijangka merosot sebanyak 1.38% serta 0.64%.
Bagi 2025, tarif AS dijangka menyebabkan KDNK berkurangan sebanyak 0.38%, dengan kesan langsung 0.07% dan kesan tidak langsung pada 0.31%.
“Kesan tarif (AS) dijangka lebih besar pada 2026 kerana ia akan mencerminkan kesan setahun penuh berbanding kesan lima bulan (Ogos hingga Disember) pada 2025,” menurut laporan itu.
KDNK nominal Malaysia pada 2024 ialah RM1.65 trilion, berkembang 5.1% berbanding 2023.
Kerajaan AS mengenakan kadar tarif 19% berbanding 25% ke atas Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
MoF berkata, kesan tidak langsung tarif AS dijangka lebih besar daripada kesan langsung memandangkan perdagangan dengan seluruh dunia menyumbang lebih 80% daripada keseluruhan perdagangan Malaysia.
Selain itu, China sebagai kuasa besar dalam sektor pembuatan global berpotensi memindahkan kesan limpahan lebih besar kepada ekonomi lain susulan kenaikan tarif ke atas eksportnya.
Satu lagi risiko dihadapi Malaysia ialah pengecualian tarif mungkin dimansuhkan untuk import semikonduktor ke AS.
“Tanpa pengecualian ini boleh membawa kesan buruk, mengurangkan daya saing dan memberi tekanan kepada sektor sangat bergantung kepada rantaian bekalan AS,” kata MoF.
Tahun lalu, AS merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), iaitu kira-kira 20% daripada keseluruhan eksport E&E.
Memandangkan kesan tarif semakin membimbangkan, MoF berkata, Malaysia perlu mengambil langkah pantas dan proaktif untuk mengurangkan kesan itu.
Ia termasuk mengukuhkan daya tahan industri tempatan dan meluaskan pasaran eksport dengan mengutamakan rantau berpotensi tinggi serta memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas sedia ada.
“Pendekatan proaktif melengkapkan daya tahan ekonomi Malaysia serta meletakkannya sebagai pasaran khusus dengan portfolio perdagangan yang pelbagai dalam persekitaran perdagangan global tidak menentu.
“Ini juga akan meningkatkan keyakinan pelabur serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan boleh dipercayai serta meningkatkan rantaian nilai global.”