
Guterres berkata, di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, mangsa cedera dan sakit, petugas kesihatan serta kemudahan perubatan termasuk hospital “mesti dihormati serta dilindungi”.
Kenyataan itu menyusul sehari selepas gelombang serangan udara Israel di Gaza yang menyasarkan hospital terbabit dan beberapa lokasi lain, mengorbankan sekurang-kurangnya 21 mangsa termasuk kanak-kanak, menurut laporan media.
Beliau turut memberi amaran bekalan perubatan semakin berkurangan, manakala hospital dipenuhi jumlah mangsa cedera semakin meningkat.
“Hampir 70% kawasan di Gaza kini di bawah arahan pemindahan paksa dikeluarkan Israel atau dalam zon larangan, menyebabkan penduduk Palestin di Gaza tiada tempat selamat berlindung dan kekurangan keperluan asas untuk terus hidup.”
Guterres menyuarakan “kebimbangan mendalam” kerana bantuan kemanusiaan terus dihalang, dengan Israel tidak membenarkan bantuan kemanusiaan atau bekalan penting lain memasuki wilayah itu lebih tujuh minggu lalu.
Menekankan akibat kemanusiaan “amat dahsyat”, Guterres menggesa Israel selaku “kuasa pendudukan” memberikan bantuan dan memudahkan rakyat Palestin di wilayah diduduki itu dengan “semua cara yang ada padanya”.
“Orang awam mesti dihormati dan dilindungi setiap masa serta mereka mesti mempunyai keperluan asas untuk terus hidup. Semua tawanan mesti dibebaskan serta-merta tanpa syarat.
“Gencatan senjata mesti dipulihkan dan diperbaharui tanpa kelewatan.”
Hampir 51,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh di Gaza dalam serangan kejam Israel sejak Oktober 2023.