PM Nepal letak jawatan selepas protes ganas

PM Nepal letak jawatan selepas protes ganas

Khadga Prasad Sharma Oli letak jawatan susulan protes mengakibatkan 19 kematian.

protes nepal
Gelombang protes ganas merebak di seluruh Nepal dengan bangunan awam, kediaman ahli politik, selain kediaman perdana menteri dijadikan sasaran. (Gambar EPA Images)
NEW DELHI:
Perdana Menteri Nepal Khadga Prasad Sharma Oli meletakkan jawatan susulan gelombang protes ganas merebak di seluruh negara.

Oli mengambil keputusan itu selepas penunjuk perasaan menyasarkan bangunan awam dan kediaman ahli politik susulan 19 kematian dalam pertempuran dengan polis pada Isnin.

Kediaman peribadi perdana menteri turut menjadi sasaran dalam beberapa insiden kebakaran dan vandalisme pada Selasa.

Pejabat parti pemerintah, Nepali Congress dibakar di ibu negara.

Sementara itu, tentera Nepal menggunakan helikopter untuk memindahkan menteri dari kediaman mereka di kawasan Bhaisepati.

Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu turut dihentikan pada sebelah petang atas faktor keselamatan.

Namun, seorang pegawai menjelaskan bahawa lapangan terbang itu tidak ditutup, menurut laporan media tempatan.

Perintah berkurung dikenakan di banyak kawasan di Kathmandu serta beberapa daerah lain bagi mengawal protes yang tercetus susulan larangan kerajaan terhadap penggunaan platform media sosial minggu lalu.

Penunjuk perasaan juga menuntut reformasi kerajaan serta tindakan tegas terhadap rasuah.

Oli dilantik sebagai perdana menteri pada Julai 2024, menggantikan Pushpa Kamal Dahal selepas kerajaan pimpinan Dahal yang berusia 18 bulan tumbang apabila Parti Komunis Nepal-Unified Marxist Leninist pimpinan Oli membentuk gabungan baharu dengan parti Kongres Nepal.

Ahli politik berusia 73 tahun itu sebelum ini pernah memegang jawatan perdana menteri sebanyak dua kali, iaitu pada Oktober 2015 hingga Julai 2016 dan pada Februari 2018 hingga Julai 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.