2 maut akibat banjir, tanah runtuh di Vietnam

2 maut akibat banjir, tanah runtuh di Vietnam

Pihak berkuasa Vietnam menyifatkan ia tahun 'paling luar biasa' dalam sejarah bencana semula jadi negara itu.

Vietnam dibadai 21 ribut tahun ini – paling banyak sejak 1961 – termasuk 15 taufan and enam lekukan tropika. (Gambar EPA Images)
HANOI:
Banjir akibat hujan lebat di Vietnam meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan menyebabkan puluhan tanah runtuh berlaku, lapor media tempatan pada Jumaat sambil memetik pihak berkuasa menyifatkan ia tahun “paling luar biasa” dalam sejarah bencana semula jadi negara itu.

Kawasan tengah-selatan Vietnam dilanda hujan lebat selama beberapa minggu, menenggelamkan ratusan ribu rumah di kawasan pelancongan pantai popular dan menyebabkan tanah runtuh di kawasan pergunungan.

Hujan lebat menenggelamkan lebih beribu rumah di wilayah Lam Dong pada Khamis dan meragut sekurang-kurangnya dua nyawa, menurut Voice of Vietnam.

Katanya, 16 tanah runtuh direkodkan di wilayah itu yang merosakkan jalan raya dan rosak serta memaksa penduduk di beribu rumah berpindah.

“Ini tahun paling banyak berlaku bencana semula jadi yang luar biasa dalam sejarah Vietnam,” kata Hoang Duc Cuong, timbalan pengarah Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Alam Sekitar dalam kenyataan pada Jumaat.

Sejumlah 21 ribut, termasuk 15 taufan dan enam lekukan tropika, menjejaskan Vietnam tahun ini, paling banyak sejak mula direkodkan pada 1961, menurut Jabatan Alam Sekitar.

Vietnam terletak dalam salah sebuah kawasan taufan tropika paling aktif di dunia, tetapi biasanya ia terjejas dengan 10 taufan atau ribut.

Negara itu turut mengalami hujan lebat ekstrem dan banjir besar tahun ini, dengan sungai mencatatkan paras air tertinggi dari kawasan utara melalui tengah hingga ke Delta Mekong.

“Tidak pernah berlaku banjir besar luar biasa dan bersejarah secara serentak dalam setahun di 20 sungai,” menurut Kementerian Alam Sekitar.

Sebuah kawasan di tengah Vietnam mencatatkan sehingga 1,739mm (5.7 kaki) hujan hanya dalam tempoh 24 jam.

Bencana alam menyebabkan lebih 400 orang maut atau hilang di Vietnam tahun ini dan menyebabkan kerugian lebih USD3.6 bilion.

Negara Asia Tenggara itu terdedah kepada hujan lebat antara Jun hingga September, tetapi saintis mengenal pasti corak perubahan iklim didorong manusia yang menjadikan cuaca ekstrem lebih kerap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.