Daftar elak tindakan, Motac beritahu pengusaha hotel

Daftar elak tindakan, Motac beritahu pengusaha hotel

Pengusaha terutama hotel bajet yang tidak berdaftar dengan Motac boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

Pengarah Pejabat Motac Terengganu Mazshidal Roslal berkata setakat ini 181 hotel dan resort di negeri ini mendaftar hasil pelbagai program kesedaran dan advokasi dijalankan. (Gambar Envato Elements)
KUALA TERENGGANU:
Semua pengusaha penginapan pelancong di Terengganu dinasihatkan mendaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi mengelak dikenakan tindakan.

Pengarah Pejabat Motac Terengganu, Mazshidal Roslal, berkata setakat ini 181 hotel dan resort di negeri ini mendaftar, hasil pelbagai program kesedaran dan advokasi dijalankan pihaknya secara berterusan.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat segelintir pengusaha terutama hotel bajet yang berdegil dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

“Kita dah bagi tempoh dua tahun untuk semua hotel berdaftar dengan Motac. Malah pada 2025 kita telah adakan kira-kira 20 sesi advokasi dengan pemain industri pelancongan bagi memberi penerangan.

“Jadi tahun depan Motac akan jalankan aktiviti penguatkuasaan. Mana-mana resort atau hotel yang tidak mendaftar boleh dikenakan tindakan mengikut akta berkaitan. Ia bagi memastikan kualiti perkhidmatan hotel pada tahap terbaik,” katanya pada Majlis Minum Petang Bersama Media, semalam.

Dalam pada itu, Mazshidal berkata pihaknya juga menubuhkan Skuad Ihsan Madani Motac bagi membantu kerja pembersihan pascabanjir.

Beliau berkata, fokus utama skuad itu ialah di lokasi yang menjadi tarikan orang ramai termasuk pantai, kawasan perkelahan dan premis penginapan pelancong.

“Khidmat Skuad Ihsan Madani Motac lebih kepada kerja sukarelawan seperti membersih lokasi pelancongan. Dari segi bantuan kepada hotel atau pengusaha penginapan pelancong, ia di bawah bidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Jika ada tempat pelancongan yang sangat berpotensi terjejas akibat banjir, pihak berkaitan boleh salurkan permohonan kepada pihak Motac melalui kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kerja penyelenggaraan tempat tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.