
Myanmar berdepan perang saudara sejak rampasan kuasa oleh tentera pada 2021, selain menghadapi pelbagai pejuang antirampasan kuasa yang membawa kepada serangan udara kerap mengorbankan orang awam.
Menurut pegawai pentadbiran tempatan, dua bom digugurkan di daerah Tabayin, wilayah Sagaing pada Jumaat malam, dengan satu daripadanya terkena sebuah kedai teh sibuk.
“Angka korban tinggi di kedai teh kerana ketika itu waktu sibuk,” katanya kepada AFP sambil menambah 18 maut dan 20 lagi cedera dalam serangan itu.
Seorang anggota penyelamat yang tiba di lokasi 15 minit selepas serangan berkata, tujuh maut di tempat kejadian, manakala 11 lagi meninggal dunia di hospital.
“Kedai teh itu – pusat sosial tradisional di Myanmar – dan kira-kira sedozen rumah berhampiran ‘musnah sepenuhnya’.”
Seorang mangsa terselamat berkata, dia sedang menonton perlawanan tinju yang disiarkan di kedai teh itu ketika kejadian.
“Sebaik saja saya terdengar pesawat melintas, saya terus bersembunyi,” katanya sambil menambah bunyi letupan itu memekakkan telinga.
“Saya nampak api besar atas kepala saya…saya bernasib baik, saya pulang ke rumah kemudian.”
Seorang jurucakap junta tidak menjawab panggilan wartawan AFP.
“Upacara pengebumian mangsa korban diadakan hari ini, dengan muka beberapa mangsa ditutup tuala kerana wajah mereka tidak dapat dikenali,” kata penduduk tempatan.
“Saya sangat sedih kerana saya kenal beberapa mangsa korban.”
Serangan udara junta di Sagaing Mei lalu meragut 22 nyawa, termasuk 20 kanak-kanak, walaupun gencatan senjata diumumkan selepas gempa bumi kuat melanda Myanmar.