
Kedua-dua pihak saling menuding jari dalam pertempuran terbaharu di sempadan mereka.
Selepas tentera Kemboja melepaskan tembakan ke arah pasukan Thailand di wilayah Ubon Ratchathani pada awal pagi Isnin, “kami menerima laporan seorang anggota terbunuh dan empat lagi cedera,” kata jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree dalam kenyataan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, berkata pasukan Thailand melancarkan serangan ke atas tentera Kemboja di wilayah sempadan Preah Vihear dan Oddar Meanchey pada awal pagi Isnin dan pihaknya tidak membalas.
AFP turut melaporkan Thailand melancarkan serangan udara ke atas tentera Kemboja.
Pertempuran sempadan bertukar menjadi perang lima hari pada Julai lalu, sebelum perjanjian gencatan senjata dimeterai pada Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur Oktober lalu, yang disaksikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Kira-kira 48 maut dan lebih 300,000 penduduk hilang tempat tinggal dalam pertempuran Julai lalu, dengan kedua-dua pihak melepaskan roket serta tembakan.