Keluarga 3 suspek tembakan di Melaka ke Bukit Aman rakam percakapan

Keluarga 3 suspek tembakan di Melaka ke Bukit Aman rakam percakapan

Seorang ahli keluarga dilaporkan membawa telefon bimbit mengandungi rakaman perbualan pada hari kejadian untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat pasukan khas.

Rajesh Nagarajan
Peguam Rajesh Nagarajan berkata keluarga tiga suspek meminta nama pegawai dilantik menganggotai pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah menyiasat dakwaan waris didedahkan.
PETALING JAYA:
Keluarga tiga suspek ditembak mati polis di Melaka bulan lalu ke Bukit Aman untuk merakam percakapan dengan membawa telefon bimbit mengandungi rakaman perbualan pada hari kejadian.

Peguam Rajesh Nagarajan mewakili tiga keluarga suspek berkata, rakaman audio itu akan diserahkan kepada pegawai penyiasat pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), selain meminta nama pegawai dilantik menganggotai pasukan khas berkenaan didedahkan.

Menurutnya, perkara itu penting kerana keluarga mangsa mahu ketelusan dalam siasatan.

“Keluarga individu ditembak turut mempersoalkan status anggota yang menembak mati ahli keluarga mereka, sama ada masih bertugas atau digantung sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media sebelum memasuki Bukit Aman bersama keluarga suspek.

Beliau berkata, anggota polis terbabit dalam tembakan itu perlu digantung kerja dan didakwa segera demi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap polis.

Dalam kejadian 4.30 pagi 24 Nov lalu, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripadanya melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal menyebabkan anggota berpangkat koperal itu parah di lengan kiri.

Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian mencecah RM1.35 juta.

Media pada 3 Dis lalu melaporkan ahli keluarga tiga suspek itu menolak dakwaan mereka bertindak ganas dengan menyerang pasukan polis.

Keesokannya, Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar dilaporkan berkata, sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.