Polis rekod keterangan 7 saksi berkait kes tembak 3 lelaki

Polis rekod keterangan 7 saksi berkait kes tembak 3 lelaki

Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar berkata saksi terdiri daripada tiga ahli keluarga si mati dan empat pegawai perubatan.

m kumar
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata sampel suara saksi turut diambil untuk dianalisa CyberSecurity Malaysia. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Bukit Aman merekod keterangan tujuh saksi dalam siasatan kes tiga lelaki yang mati ditembak polis di Melaka pada 24 Nov lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata saksi terdiri daripada tiga ahli keluarga si mati dan empat pegawai perubatan.

Kumar berkata keluarga tiga lelaki itu bersama peguam hadir ke Bukit Aman pagi tadi dan mereka juga menyerahkan rakaman audio yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

“Sampel suara saksi tersebut turut diambil dengan bantuan CyberSecurity Malaysia untuk tujuan analisa,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili keluarga itu, berkata mereka tidak berpuas hati dengan pertemuan bersama pihak polis dan mempersoalkan mengapa pihak polis masih tidak menjelaskan sama ada kes itu telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Rajesh berkata walaupun Timbalan Pengarah (Pendakwaan/Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Fazley Ab Rahman beri jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, mereka tidak diberikan jawapan kepada beberapa soalan penting.

Selain mengenai klasifikasi siasatan, keluarga mangsa juga tidak dimaklumkan sama ada pegawai yang terlibat telah digantung tugas, atau siapa yang mengetuai pasukan khas yang menyiasat kes tersebut.

Rakaman audio yang diserahkan hari ini adalah berkenaan dakwaan tiga lelaki itu, M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29, dibunuh secara ‘execution-style’.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, sebelum ini mendakwa tiga lelaki itu adalah perompak bersiri yang telah menyerang dan mencederakan seorang pegawai polis menggunakan parang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.