Percikan api bateri punca kebakaran ragut 22 nyawa

Percikan api bateri punca kebakaran ragut 22 nyawa

Bateri dron dengan kapasiti 30,000 mAh terhempas ke lantai lalu mengeluarkan percikan api menyambar lapisan bateri lain.

Pekerja maut dilaporkan sedang berehat di tingkat dua hingga enam, namun terperangkap apabila api marak dari tingkat bawah. (Gambar EPA Images)
JAKARTA:
Polis Indonesia percaya kebakaran di rumah kedai Terra Drone di Jakarta yang meragut 22 nyawa pada 9 Dis, berpunca bateri dron yang terjatuh dan mencetuskan api, lapor agensi berita ANTARA.

“Kami sedang menyoal siasat dua saksi utama yang melihat kejadian itu secara langsung,” kata Ketua Pesuruhjaya Kanan Polis Metro Jakarta Pusat, Susatyo Purnomo Condro.

Menurutnya, keterangan saksi utama menunjukkan kebakaran itu disebabkan oleh bateri dron yang terjatuh.

Bateri dron yang terjatuh itu mempunyai kapasiti 30,000 mAh dan disusun dalam empat lapisan. Ketika terhempas ke lantai, bateri berkenaan mengeluarkan percikan api.

“Menurut saksi, percikan api tercetus sebaik sahaja ia terjatuh, dan terdapat bateri lain turut disimpan di kawasan itu,” kata Condro.

Selepas percikan api mencetuskan kebakaran, api merebak dengan cepat dan memusnahkan tingkat pertama yang berfungsi sebagai kawasan penyimpanan inventori.

Terdahulu pada Khamis, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Pusat, Ajun Komisaris Besar Roby Heri Saputra, mendedahkan bahawa penyiasat telah mengumpul dua bukti untuk menamakan MW, Presiden Pengarah Terra Drone, sebagai suspek dalam kebakaran rumah kedai di Kemayoran itu.

“Kami melakukan penahanan malam tadi berdasarkan dua bukti permulaan dan penilaian penyiasat,” kata Saputra.

Beliau menambah bukti tersebut disokong dapatan penyiasat, memenuhi syarat untuk menahan MW sebagai suspek.

Bukti dikumpul polis termasuk keterangan saksi, dokumen, dan bahan yang ditemui di lokasi kejadian.

Saputra berkata, penahanan suspek lain masih berkemungkinan, memandangkan siasatan terhadap pekerja lain dan individu berkaitan masih dijalankan.

Setakat ini, pihak berkuasa menemu bual 13 saksi termasuk pekerja, pengurus, dan penduduk berhampiran.

Kebakaran itu berlaku ketika waktu rehat tengah hari, mengakibatkan kebanyakan pekerja yang berehat di tingkat dua hingga enam terperangkap apabila api marak dari tingkat bawah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.