4 sindiket tumpas, 7 ditahan, dadah RM17.8 juta disita

4 sindiket tumpas, 7 ditahan, dadah RM17.8 juta disita

Polis percaya enam warga asing menerima upah sekitar €3,000 hingga €5,000 untuk membawa dadah, manakala lelaki tempatan itu disyaki berperanan sebagai transporter dadah.

handcuff
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata tiga lelaki dan tiga wanita asing yang ditahan di sekitar Terminal KLIA itu dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.
SHAH ALAM:
Empat sindiket dadah tumpas, dengan bunga ganja dan syabu seberat 251.8kg yang bernilai RM17.8 juta dirampas di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Ampang.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata menerusi operasi pada 6, 9 dan 10 Mei lalu, enam warga asing, termasuk tiga wanita ditahan selepas bagasi mencurigakan dikesan melalui mesin pengimbas.

Menurutnya, semua suspek dipercayai daripada sindiket berasingan membawa 254 bungkus bunga ganja seberat 172.8kg bernilai RM13.85 juta dalam sembilan bagasi.

“Keenam-enam suspek terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita asing berusia 17 hingga 31 tahun itu ditahan di sekitar Terminal KLIA dan dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Mereka dipercayai menerima upah sekitar €3,000 hingga €5,000 untuk membawa bahan terlarang itu. Saringan air kencing turut mendapati seorang suspek positif dadah jenis THC,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor, di sini.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai berperanan sebagai transporter dadah turut ditahan di depan sebuah premis di Ampang Jaya pada 11 Mei lalu.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemui 79 bungkusan plastik disyaki mengandungi syabu seberat 79kg bernilai RM3.95 juta.

“Orang awam diingatkan tidak terlibat sebagai keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan pihak lain tanpa mengetahui isi kandungannya.

“Jangan mudah terpedaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan itu boleh mengundang implikasi undang-undang sangat serius.”

Semua suspek direman 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.