Tiada wang beli tiket punca warga China ceroboh pintu pelepasan KLIA

Tiada wang beli tiket punca warga China ceroboh pintu pelepasan KLIA

Polis berkata suspek masuk ke Malaysia pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya, tetapi tiada wang mencukupi untuk membeli tiket pulang ke negara asal.

klia insiden
Tangkap layar video menunjukkan anggota keselamatan cuba menahan warga China yang cuba menceroboh kawasan keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa Terminal 1 KLIA semalam. (Gambar Threads)
PETALING JAYA:
Seorang warga China ditahan selepas didakwa menceroboh kawasan keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Polis KLIA, M Ravi, berkata wanita itu dilaporkan melepasi pintu pemeriksaan keselamatan autogate tanpa memiliki tiket penerbangan kira-kira 1.35 tengah hari semalam.

Menurutnya, suspek dikatakan bertindak agresif ketika petugas keselamatan cuba memeriksanya, menyebabkan polis bantuan KLIA terpaksa menahannya.

“Hasil siasatan mendapati suspek masuk ke negara ini pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya, namun tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli tiket pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini, di mana dia direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.