
Turut ditahan tujuh suspek warga asing dipercayai keldai dadah terdiri enam lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 27 tahun.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata kes pertama membabitkan rampasan 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 67.2kg.
“Bagi kes kedua, polis merampas 59 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 29.5kg.
“Kes ketiga pula membabitkan rampasan empat bagasi berisi 109 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 60kg,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor.
Beliau berkata, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM580, mata wang asing sebanyak 20 Euro, serta seutas jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM80,000.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati enam suspek positif dadah manakala seorang lagi negatif.
Menurutnya, suspek dipercayai tertarik upah lumayan minimum antara RM13,000 hingga RM26,000 bagi satu trip perjalanan ditawarkan sindiket.
“Dadah yang dirampas adalah untuk dibawa keluar dari Malaysia dan dihantar ke Eropah, dan kita percaya bekalan itu diambil dari negara jiran.
“Semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia dan menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini,” katanya.
Semua suspek direman 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.