Klasifikasi siasatan kes tembak 3 lelaki bidang kuasa jawatankuasa penyiasat, kata menteri

Klasifikasi siasatan kes tembak 3 lelaki bidang kuasa jawatankuasa penyiasat, kata menteri

Menteri dalam negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis belum mengambil keterangan anggota terbabit kes tembakan itu.

saifuddin nasution ismail
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tidak wajar beliau mengklasifikasikan siasatan kes tembakan di Melaka kerana ia bidang kuasa jawatankuasa penyiasat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata tidak wajar beliau mengklasifikasikan siasatan kes tembakan tiga lelaki di Melaka memandangkan ia bidang kuasa jawatankuasa penyiasat.

“BIla jawatankuasa itu berfungsi, mereka akan ambil keterangan dan sekali gus menentukan hala tuju siasatan.

“Sebagai menteri, tak kena kalau saya terus mengklasifikasikan siasatan di bawah mana-mana seksyen. Ini bermakna saya sudah mencampuri bidang kuasa jawatankuasa penyiasat,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini.

Menurutnya, polis belum mengambil keterangan anggota terbabit kes tembakan itu.

Mengulas lanjut kemungkinan penugasan semula polis terbabit, katanya, ia diuruskan mengikut prosedur polis berdasarkan keterangan dan penemuan jawatankuasa.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar dilaporkan berkata, polis mengambil keterangan tujuh saksi terdiri daripada tiga ahli keluarga si mati dan empat pegawai perubatan dalam siasatan kes itu.

Dalam kejadian 4.30 pagi 24 Nov lalu, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripadanya melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal menyebabkan anggota berpangkat koperal itu parah di lengan kiri.

Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian mencecah RM1.35 juta.

Kultus menyimpang dari Korea

Saifuddin meminta Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin memberikan maklumat lengkap kepada pihak berkuasa susulan dakwaannya berhubung gerakan kultus menyimpang dari Korea yang sedang aktif di Malaysia.

“Lebih molek kita uruskan perkara ini mengikut jalur hukum. Maka, saya minta Dr Maza tampil berkongsi maklumat dengan polis dan kita akan segera mulakan siasatan.”

Pada 3 Dis lalu, Asri dilaporkan mendakwa sebuah gerakan kultus dari Korea yang berorientasikan ajaran menyimpang, bergerak aktif di Malaysia atas nama keamanan dan keharmonian.

Beliau turut mendakwa ramai Ahli Parlimen Islam dan individu penting Parlimen kelihatan aktif menyertai serta membantu gerakan kultus itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.