13 maut minum air paip tercemar sisa kumbahan di India

13 maut minum air paip tercemar sisa kumbahan di India

Beratus-ratus lagi termasuk kanak-kanak dirawat di hospital akibat minum air paip dipercayai tercemar di negeri Madhya Pradesh.

paip
Pegawai mengesyaki percemaran sisa kumbahan berpunca daripada kebocoran pada saluran paip di Bhagirathpura, sebuah kawasan kejiranan miskin di Bandar Indore di negeri Madhya Pradesh, India. (Gambar Bernama)
NEW DELHI:
Seramai 13 orang dilaporkan maut manakala beratus-ratus lagi, termasuk ramai kanak-kanak, jatuh sakit selepas meminum air paip yang tercemar di tengah India.

Pesakit yang mengalami cirit-birit dan muntah-muntah dikejarkan ke beberapa hospital di Bandar Indore, negeri Madhya Pradesh, selepas menggunakan air daripada saluran paip bekalan perbandaran.

Pegawai perbandaran mengesyaki sisa kumbahan mungkin telah bercampur dengan air minuman berpunca daripada kebocoran pada saluran paip di Bhagirathpura, sebuah kawasan kejiranan miskin.

Penduduk dan waris mangsa memberitahu media tempatan bahawa air yang berbau busuk dibekalkan ke kawasan itu sejak seminggu yang lepas.

Ketua Menteri Madhya Pradesh Mohan Yadav dan Menteri Kabinet Kailash Vijayvargiya melawat mangsa yang menerima rawatan di hospital pada Rabu.

Bagaimanapun, timbul kontroversi apabila Vijayvargiya secara sinis memberitahu seorang wartawan televisyen supaya tidak bertanya ‘soalan tidak berguna’ apabila ditanya mengenai situasi berkenaan. Video konfrontasi itu kini tular di media sosial.

Pelbagai laporan media menyatakan sekurang-kurangnya 13 orang meninggal dunia dan lebih 1,000 orang jatuh sakit.

Menteri berkenaan tidak mengesahkan angka kematian tetapi menyatakan jumlah kemasukan pesakit ke hospital kini semakin berkurangan.

“Saya tidak dapat mengulas mengenai jumlah kematian pada masa ini,” katanya kepada pemberita.

Vijayvargiya berkata 100 katil disediakan di sebuah hospital manakala sebuah wad penuh dengan kapasiti 100 katil di hospital lain telah dikhaskan untuk merawat mereka yang terjejas akibat pencemaran itu.

Kerajaan negeri telah berjanji untuk memberikan pampasan sebanyak 200,000 rupee (kira-kira RM9,000) kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.