Rumah Putih umum barisan pimpinan ‘Lembaga Keamanan’ Gaza, NCAG

Rumah Putih umum barisan pimpinan ‘Lembaga Keamanan’ Gaza, NCAG

Selain Jared Kushner dan bekas perdana menteri UK Tony Blair, lembaga itu turut disertai antaranya wakil Turki, UAE, Qatar, dan Mesir.

Jared Kushner
Menantu presiden AS, Jared Kushner dan bekas perdana menteri UK Tony Blair antara dipilih menganggotai ‘Lembaga Keamanan’ untuk Semenanjung Gaza.
WASHINGTON:
Rumah Putih mengumumkan barisan kepimpinan ‘Lembaga Keamanan’ untuk Semenanjung Gaza serta ketua Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG), sebagai sebahagian pelan 20 perkara Presiden Donald Trump untuk menamatkan serangan genosid Israel di wilayah itu.

Dalam kenyataan, Rumah Putih memaklumkan NCAG akan diketuai Dr Ali Sha’ath, bekas anggota Kabinet Pihak Berkuasa Palestin, lapor Anadolu Ajansi.

Rumah Putih menyifatkan Sha’ath sebagai ‘seorang pemimpin teknokrat yang dihormati secara meluas dan akan menyelia pemulihan perkhidmatan awam, membina semula institusi awam serta menstabilkan kehidupan harian di Gaza, sambil meletakkan asas bagi tadbir urus jangka panjang’.

Rumah Putih turut mengumumkan pembentukan Lembaga Eksekutif untuk menyokong tadbir urus dan perkhidmatan, termasuk Menteri Luar Turki Hakan Fidan; Utusan Khas Trump Steve Witkoff; menantu Trump Jared Kushner; bekas perdana menteri United Kingdom (UK), Tony Blair; Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu (UAE) Reem Al-Hashimy; diplomat veteran Qatar Ali Al-Thawadi; ketua perisikan Mesir Hassan Rashad; diplomat Bulgaria berpangkalan di UAE dan bekas utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nickolay Mladenov; ahli perniagaan Cyprus-Israel Yakir Gabay; serta ahli politik Belanda Sigrid Kaag.

Lembaga Eksekutif yang akan membimbing ‘Lembaga Keamanan’ itu akan dipengerusikan Trump, menurut laporan berkenaan.

Anggotanya termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio, Witkoff, Kushner, Blair, bilionair Marc Rowan, Presiden Kumpulan Bank Dunia Ajay Banga, dan penasihat politik AS Robert Gabriel.

Mladenov akan berperanan sebagai Wakil Tinggi untuk Gaza, menghubungkan ‘Lembaga Keamanan’ dengan NCAG, manakala Mejar Jeneral Jasper Jeffers akan mengetuai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).

AS turut melantik Aryeh Lightstone dan Josh Gruenbaum sebagai penasihat kanan kepada ‘Lembaga Keamanan’ untuk menyelia ‘strategi dan operasi harian’.

Menurut Rumah Putih, lebih ramai anggota Lembaga Eksekutif dan Lembaga Eksekutif Gaza akan diumumkan dalam minggu-minggu mendatang.

Pengumuman itu dibuat selepas Witkoff pada Rabu mengumumkan permulaan fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza, dengan menyatakan tumpuan kini beralih kepada penyahtenteraan, tadbir urus teknokrat dan pembinaan semula.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada Oktober 2025. Fasa pertamanya menghentikan serangan, membenarkan pengunduran sebahagian tentera Israel, memudahkan pertukaran tawanan Israel dengan ratusan rakyat Palestin yang ditahan Israel dan membenarkan kemasukan terhad bantuan kemanusiaan ke Gaza, walaupun perjanjian itu menetapkan akses penuh.

Fasa kedua menyeru pengunduran penuh tentera Israel, pelucutan senjata Hamas, pengerahan ISF serta pembentukan jawatankuasa ‘teknokrat’ Palestin untuk mentadbir Gaza buat sementara waktu.

Rakyat Palestin berkata, Israel berulang kali melanggar gencatan senjata itu, yang menyusuli serangan yang mengorbankan lebih 71,000 penduduk Gaza – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.

Sejak gencatan itu, hampir 450 rakyat Palestin maut dan lebih 1,200 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.