Artemis 2 masuk zon graviti bulan

Artemis 2 masuk zon graviti bulan

Angkasawan Victor Glover, Christina Koch, dan Reid Wiseman serta Jeremy Hansen dijadual keliling bulan sebelum kembali ke Bumi pada Jumaat.

Artemis 2 dijangka berada pada kedudukan paling hampir dengan bulan, iaitu kira-kira 7,500km melepasi bahagian jauh bulan. (Gambar EPA Images)
CAPE CANAVERAL:
Empat angkasawan menyertai misi Artemis 2 telah memasuki zon graviti bulan, iaitu titik apabila tarikan graviti bulan ke atas kapal angkasa Orion menjadi lebih kuat, berbanding tarikan graviti Bumi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Nasa.

Kru terbabit terdiri angkasawan Amerika Syarikat (AS) Victor Glover, Christina Koch, dan Reid Wiseman, serta angkasawan Kanada Jeremy Hansen, yang kini menjadi manusia pertama dalam tempoh lebih 50 tahun melakukan perjalanan ke bulan.

Misi itu merupakan penerbangan ke angkasa kedua bagi Glover, Koch, dan Wiseman, manakala Hansen kali pertama.

Mereka berlepas pada petang Rabu dengan menaiki kapsul Orion yang dilancarkan roket Space Launch System dari pusat pelancaran Cape Canaveral di Florida, AS. Kira-kira 24 jam kemudian, mereka meninggalkan orbit Bumi menerusi manuver khas.

Artemis 2 dibina berasaskan pengalaman misi Artemis 1 tanpa kru pada 2022, dengan laluan penerbangannya secara keseluruhan menyerupai bentuk angka lapan mengelilingi Bumi dan bulan.

Kru terbabit kini dijadual mengelilingi bulan sebelum kembali ke Bumi dan mendarat di laut pada Jumaat.

Dalam beberapa jam akan datang, kapal angkasa itu dijangka berada pada kedudukan paling hampir dengan bulan, iaitu kira-kira 7,500km melepasi bahagian jauh bulan.

Para angkasawan akan berpeluang melihat Bumi dan bulan pada masa yang sama, selain menyaksikan gerhana matahari apabila matahari terlindung di sebalik bulan dari perspektif Orion.

Mereka juga berkemungkinan mencatat perjalanan paling jauh dari Bumi yang pernah dicapai manusia.

Rekod semasa dipegang kru misi Apollo 13 pada 1970, iaitu pada jarak kira-kira 400,171km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.