Agensi tenaga antarabangsa beri amaran ‘April hitam’ bekalan minyak

Agensi tenaga antarabangsa beri amaran ‘April hitam’ bekalan minyak

Penutupan Selat Hormuz mengakibatkan gangguan tenaga yang belum pernah disaksikan dunia.

Fatih Birol
Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol, berkata ‘kita berdepan kejutan tenaga besar merangkumi kejutan minyak, gas, dan makanan’. (Gambar EPA Images)
PARIS:
Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol memberi amaran mengenai kemungkinan ‘April hitam’ berikutan keadaan bekalan minyak global yang semakin meruncing susulan perang di Iran dan sebahagian besar Selat Hormuz yang terhalang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam temu bual dengan akhbar Perancis Le Figaro yang disiarkan dalam talian, Birol berkata walaupun Mac sangat mencabar, April dijangka jauh lebih buruk.

Beliau berkata, negara Teluk kini hanya menghasilkan lebih sedikit daripada separuh jumlah minyak yang mereka keluarkan sebelum perang, manakala gas asli tidak lagi dieksport melalui laluan perairan sempit strategik itu yang secara berkesan disekat Iran.

“Jika selat itu benar-benar kekal ditutup sepanjang April, kita akan kehilangan dua kali ganda bekalan minyak mentah dan produk bertapis berbanding Mac. Kita berdepan ‘April hitam’,” katanya.

“Saya sangat pesimis hari ini kerana perang ini melumpuhkan antara nadi utama ekonomi global. Bukan sahaja minyak dan gas, tetapi juga baja, petrokimia, helium, dan banyak lagi.”

Dunia tidak pernah mengalami gangguan bekalan tenaga pada skala sebegini, kata Birol.

“Jika dilihat kepada tiga krisis minyak dan gas utama sebelum ini, krisis semasa lebih serius berbanding krisis 1973, 1979, dan 2022 digabungkan. Kita berdepan kejutan tenaga besar yang merangkumi kejutan minyak, gas, dan makanan,” katanya.

Pelepasan rizab minyak yang diselaraskan oleh IEA hanya mampu mengurangkan tekanan buat sementara waktu, kata Birol. “Satu-satunya penyelesaian sebenar adalah membuka semula Selat Hormuz. Selagi ia kekal ditutup, ekonomi global akan berdepan kesukaran besar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.