‘Berita buruk untuk Iran’, kata JD Vance usai rundingan damai

‘Berita buruk untuk Iran’, kata JD Vance usai rundingan damai

Naib Presiden AS JD Vance berkata kedua-dua negara tidak capai sebarang persetujuan dengan delegasi Washington berlepas pulang dari Pakistan.

JD Vance
Naib Presiden AS JD Vance, berkata rundingan berdepan beberapa kekangan dan Iran memilih tidak terima syarat AS, termasuk komitmen tidak membangunkan senjata nuklear. (Gambar EPA Images)
ISLAMABAD:
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance berkata pasukan rundingan negaranya meninggalkan Pakistan selepas gagal mencapai persetujuan dengan Iran selepas 21 jam rundingan, sekali gus menjejaskan gencatan senjata rapuh selama dua minggu.

“Berita buruknya ialah kami belum mencapai persetujuan dan saya fikir itu berita yang lebih buruk untuk Iran berbanding AS.

“Jadi, kami pulang ke AS tanpa mencapai persetujuan. Kami telah menjelaskan apakah garis merah kami,” kata Vance kepada pemberita selepas rundingan berakhir, menurut Reuters.

Vance berkata, rundingan itu berdepan beberapa kekangan dan Iran memilih untuk tidak menerima syarat dikemukakan AS, termasuk komitmen tidak membangunkan senjata nuklear.

Tidak lama selepas itu, beliau melambai sebelum menaiki Air Force Two di Islamabad.

“Kami perlu melihat komitmen yang jelas bahawa mereka tidak akan berusaha mendapatkan senjata nuklear, dan tidak akan mendapatkan keupayaan yang membolehkan mereka menghasilkan senjata itu dengan cepat.

“Itulah matlamat utama presiden AS dan itulah yang kami cuba capai menerusi rundingan ini,” kata Vance.

Agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim pula melaporkan bahawa tuntutan AS yang disifatkan sebagai ‘berlebihan’ menghalang pencapaian persetujuan dan rundingan telah berakhir.

Sebelum kenyataan Vance, kerajaan Iran menerusi hantaran di platform X memaklumkan rundingan akan diteruskan dan pakar teknikal dari kedua-dua pihak akan bertukar dokumen.

Rundingan di Islamabad itu merupakan pertemuan langsung pertama antara AS dan Iran dalam tempoh lebih sedekad serta perbincangan peringkat tertinggi sejak Revolusi Islam 1979.

Dalam sidang medianya yang ringkas, Vance tidak menyentuh soal pembukaan semula Selat Hormuz, laluan sempit bagi kira-kira 20% bekalan tenaga dunia dan disekat Iran sejak perang bermula.

Konflik itu turut menyebabkan harga minyak global melonjak dan mengorbankan ribuan nyawa.

Delegasi Vance turut disertai utusan khas Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner.

Vance berkata, beliau berhubung dengan Trump antara enam hingga 12 kali sepanjang rundingan itu.

Pasukan Iran pula dianggotai Yang Dipertua Parlimen Mohammad Baqer Qalibaf dan Menteri Luar Abbas Araqchi.

Delegasi Iran tiba pada Jumaat dengan berpakaian hitam sebagai tanda berkabung atas kematian Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dan individu lain yang terbunuh dalam perang itu.

“Terdapat perubahan suasana membabitkan kedua-dua pihak dan ketegangan berubah-ubah sepanjang mesyuarat,” kata satu sumber Pakistan, merujuk kepada pusingan pertama rundingan itu.

Bagi rundingan Iran-AS itu, Islamabad, sebuah bandar raya dengan populasi lebih dua juta orang dikenakan kawalan ketat, manakala ribuan anggota separa tentera dan tentera ditempatkan di jalan raya.

Peranan Pakistan sebagai pengantara pula dilihat sebagai perubahan besar bagi sebuah negara yang setahun lalu dianggap terpinggir dari sudut diplomatik.

Sekatan Selat Hormuz

Ketika rundingan bermula, tentera AS berkata ia sedang ‘menetapkan syarat’ untuk memulakan usaha membersihkan Selat Hormuz.

Selat itu menjadi antara isu utama dalam rundingan gencatan senjata.

Tentera AS berkata, dua kapal perangnya telah melalui selat itu dan persiapan sedang dibuat untuk membersihkan periuk api, manakala media rasmi Iran menafikan sebarang kapal AS melalui laluan berkenaan.

Sebelum rundingan bermula, satu sumber kanan Iran memberitahu Reuters bahawa AS bersetuju melepaskan aset beku Iran di Qatar dan bank asing lain.

Namun, seorang pegawai AS menafikan Washington bersetuju melepaskan dana itu.

Selain pelepasan aset di luar negara, Tehran menuntut kawalan ke atas Selat Hormuz, pampasan perang, dan gencatan senjata di seluruh rantau termasuk di Lubnan, menurut televisyen negara Iran dan beberapa pegawai.

Tehran juga mahu mengenakan yuran transit di Selat Hormuz, menurut laporan Reuters.

Sebaliknya, matlamat minimum Trump ialah memastikan kebebasan laluan perkapalan yang melalui selat itu serta melumpuhkan program pengayaan nuklear Iran supaya negara itu tidak dapat menghasilkan bom atom.

Sekutu AS, Israel, yang turut menyertai serangan ke atas Iran pada 28 Feb terus mengebom kumpulan Hizbullah yang disokong Tehran di Lubnan, menegaskan konflik itu tidak termasuk dalam gencatan senjata Iran-AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.