Istanbul fail tuduhan terhadap Netanyahu, 34 lagi berkait serangan ke atas GSF

Istanbul fail tuduhan terhadap Netanyahu, 34 lagi berkait serangan ke atas GSF

Berdasarkan pertuduhan, tentera Israel melancarkan serangan di perairan antarabangsa terhadap aktivis di atas kapal Global Sumud Flotilla yang sedang dalam perjalanan ke Gaza.

Pada September 2025, tentera Israel menghalang Global Sumud Flotilla, yang disifatkan sebagai campur tangan yang menyalahi undang-undang, menaiki kapal, menahan sukarelawan dan membawa mereka ke Israel. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Pejabat Ketua Pendakwa Raya Istanbul memfailkan pertuduhan terhadap 35 individu termasuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, berhubung campur tangan bersenjata terhadap Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza tahun lepas.

Menurut Anadolu Ajansi, pertuduhan itu menuntut hukuman penjara seumur hidup yang lebih berat selain hukuman penjara antara 1,102 tahun sembilan bulan hingga 4,596 tahun bagi setiap tertuduh atas pelbagai kesalahan termasuk jenayah terhadap kemanusiaan, genosid, rampasan kebebasan, penyeksaan, kerosakan harta benda, rompakan, serta menghalang, merampas atau menahan kenderaan pengangkutan.

Menurut kertas pertuduhan itu, aktivis di atas kapal Global Sumud Flotilla sedang dalam perjalanan ke Gaza melalui laut untuk menghantar bantuan kemanusiaan apabila tentera laut Israel melancarkan serangan di perairan antarabangsa.

Kertas pertuduhan itu menyatakan bahawa susulan serangan berkenaan, pejabat pendakwa raya telah memulakan siasatan berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, Perkara 15 Kanun Tatacara Jenayah Türkiye, serta Perkara 12 dan 13 Kanun Keseksaan Turki yang berkaitan dengan bidang kuasa.

Pada September 2025, tentera Israel menghalang Global Sumud Flotilla dalam apa yang disifatkan penganjur sebagai campur tangan yang menyalahi undang-undang, menaiki kapal, menahan sukarelawan dan membawa mereka ke Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.