
Perkhidmatan kecemasan memaklumkan kira-kira 50 pokok tumbang akibat salji lebat serta angin kencang. Talian elektrik turut terjejas.
Datuk Bandar Sergei Sobyanin berkata, perkhidmatan bandar diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tinggi sambil memberi amaran keadaan cuaca dijangka bertambah buruk, termasuk tiupan angin kencang sehingga 23m sesaat. Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran cuaca tahap jingga dengan ribut salji dan keadaan berais dijangka berlaku.
Ahli meteorologi Mikhail Leus, pakar utama di Pusat Cuaca Fobos berkata, ketebalan salji mencecah 12cm pada waktu pagi, melepasi rekod 10cm yang dicatatkan 55 tahun lalu.
Jumlah hujan salji semalaman pula mencapai 16cm, mengatasi rekod sejak 1880. Tekanan atmosfera juga jatuh ke paras terendah direkodkan.
Perkhidmatan pengangkutan turut terganggu, dengan kelewatan dilaporkan pada perkhidmatan kereta api dan di lapangan terbang.
Bandar itu menggantung perkhidmatan sewa skuter elektrik dan kereta perkongsian menggunakan tayar musim panas serta menggesa penduduk menggunakan pengangkutan awam dan mengelakkan perjalanan tidak perlu.
Kebanyakan taman awam turut ditutup atas faktor keselamatan. Ramalan cuaca menjangkakan salji akan berkurangan menjelang petang, namun berterusan sehingga Selasa.