
“Operasi itu sudah berakhir. Epic Fury, seperti dimaklumkan presiden kepada Kongres, kami telah selesai dengan fasa itu,” kata Rubio kepada pemberita dalam sidang media di Rumah Putih.
Rubio berkata, AS telah mencapai objektif operasi itu dan kini beralih kepada ‘Project Freedom’ bertujuan membuka semula Selat Hormuz, laluan utama bagi perdagangan minyak global kepada trafik perkapalan.
Presiden AS Donald Trump mengisytiharkan permusuhan terhadap Iran telah berakhir dalam surat kepada Kongres, pada Jumaat.
Surat itu menyatakan tiada pertempuran berlaku antara kedua-dua negara sejak gencatan senjata bermula pada 7 April. “Permusuhan yang bermula pada 28 Februari 2026 telah ditamatkan,” menurut surat itu, merujuk kepada hari AS melancarkan ‘Operation Epic Fury’.
Rubio juga berkata, AS terus meneroka kemungkinan laluan diplomatik dalam perang Iran. Utusan khas AS Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner, sedang berusaha ‘bersungguh-sungguh’ dalam usaha itu, katanya.
Beliau berkata, jika terdapat laluan diplomatik yang benar-benar berkesan, ia boleh membawa Iran ‘ke arah pembinaan semula, kemakmuran, dan kestabilan, serta tidak lagi menjadi ancaman kepada dunia’.