Bekalan minyak dijamin sampai hujung Jun, kata Petronas

Bekalan minyak dijamin sampai hujung Jun, kata Petronas

Syarikat minyak nasional berkata pihaknya akan terus menguruskan rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di seluruh rangkaian stesennya.

RON95
Pada 30 Mac, Petronas mengunjurkan bekalan petrol dan diesel mencukupi untuk negara sehingga Mei 2026.
PETALING JAYA:
Petronas mengesahkan bekalan bahan api di seluruh stesennya akan kekal terjamin sehingga akhir Jun, melanjutkan unjuran sebelum ini selama sebulan.

Syarikat minyak nasional itu, berkata menerusi anak syarikatnya, Petronas Dagangan Bhd, ia membekalkan sekitar 50% daripada keperluan bahan api negara, manakala baki selebihnya dibekalkan syarikat minyak lain beroperasi di Malaysia.

“Petronas mengesahkan bekalan bahan api merentasi rangkaian stesennya di seluruh negara dijamin sehingga akhir Jun, satu pelanjutan daripada unjuran awal iaitu pada akhir Mei,” katanya dalam kenyataan.

Petronas berkata, pihaknya akan terus menguruskan rantaian bekalannya secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di seluruh rangkaian stesennya di sebalik krisis tenaga global akibat konflik di Timur Tengah.

“Orang ramai diseru membeli bahan api secara bertanggungjawab mengikut keperluan harian mereka dan mengelakkan menyimpan secara berlebihan atau pembelian panik. Penggunaan bertanggungjawab akan membantu memastikan akses berterusan untuk semua,” katanya.

Pada 30 Mac, syarikat itu menyatakan ia mengunjurkan bekalan petrol dan diesel yang mencukupi untuk negara sehingga Mei 2026.

Petronas berkata, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak, ia tidak terlepas sepenuhnya daripada kesan peperangan di Iran memandangkan hampir 40% daripada keperluan minyak mentah negara transit melalui Selat Hormuz.

Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir, berkata kerajaan bersetuju meningkatkan campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 dalam usaha memperkukuh penggunaan bahan api alternatif di tengah-tengah krisis tenaga yang sedang berlaku.

Dalam taklimat televisyen mengenai krisis tenaga global, Akmal berkata peralihan tersebut akan bermula dengan pengenalan B12 secara berfasa, yang tidak akan melibatkan sebarang kos tambahan kerana ia bakal menggunakan infrastruktur campuran biodiesel sedia ada.

Beliau berkata, Putrajaya menjangkakan ia akan mengambil masa sehingga 18 bulan untuk pulih daripada krisis.

Kerajaan juga putus untuk meningkatkan bantuan tunai bagi pengguna diesel di bawah dua ssim BUDI Madani kepada RM400 pada April, berbanding RM300, dalam satu lagi pelarasan di tengah-tengah tekanan harga global yang berterusan.

Kerajaan juga menggalakkan aturan bekerja dari rumah bagi penjawat awam dan mengurangkan kuota bulanan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter, selain langkah penjimatan tenaga yang lain bagi mengurangkan kesan krisis tenaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.