Suami isteri dipenjara akibat kurung 3 anak dalam ‘rumah ngeri’

Suami isteri dipenjara akibat kurung 3 anak dalam ‘rumah ngeri’

Pasangan itu mendakwa mengasingkan tiga anak mereka daripada dunia luar bagi melindungi mereka daripada dijangkiti penyakit seperti Covid-19.

Pasangan warga Jerman itu dijatuhkan hukuman penjara dua tahun 10 bulan kerana mengurung tiga anak mereka dalam rumah dipenuhi sampah selama tiga tahun setengah. (Gambar Envato Elements)
MADRID:
Sepasang suami isteri warga Jerman dijatuhkan hukuman penjara dua tahun 10 bulan di Sepanyol kerana mengurung tiga anak mereka dalam “rumah ngeri” yang dipenuhi sampah selama tiga tahun setengah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mahkamah di bandar utara Oviedo pada Isnin mendapati lelaki 54 tahun itu dan isterinya berusia 49 tahun bersalah atas pertuduhan penderaan psikologi dan pengabaian, namun dibebaskan daripada pertuduhan lebih serius, iaitu penahanan secara tidak sah.

Pendakwa raya sebelum ini mencadangkan hukuman penjara 25 tahun terhadap pasangan itu dalam kes mengejutkan yang menjadi tajuk utama media di Sepanyol dan Jerman.

Mangsa terdiri daripada pasangan kembar berusia lapan tahun dan seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun yang diselamatkan pada akhir April 2025 selepas seorang jiran memaklumkan perkara itu kepada polis. Penyiasat menyifatkan kediaman itu “rumah ngeri”.

Pasangan terbabit menegaskan mereka tidak bersalah dan mendakwa tindakan mengasingkan tiga anak mereka daripada dunia luar bagi melindungi mereka daripada dijangkiti penyakit seperti Covid-19.

Bagaimanapun, polis memberitahu dpa, kanak-kanak itu ditemui “kotor, memakai pijama dan diabaikan secara serius” selain mengalami kekurangan zat makanan yang ketara”.

Rumah itu dilaporkan “dipenuhi sampah di merata-rata tempat”, manakala seekor kucing yang sakit tenat turut ditemui dikelilingi najis.

Kanak-kanak terbabit dilaporkan dipaksa memakai lampin dan pelitup muka serta diasingkan sepenuhnya daripada dunia luar, termasuk tidak dibenarkan keluar ke halaman rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.