Pusat rawatan Ebola dibakar penunjuk perasaan di DR Congo

Pusat rawatan Ebola dibakar penunjuk perasaan di DR Congo

Waris berang kerana tidak dapat menuntut mayat ahli keluarga sambil pertikai si mati meninggal dunia akibat Ebola.

kebakaran
Penunjuk perasaan mula membakar khemah rawatan Ebola selepas permintaan menuntut mayat ahli keluarga ditolak. (Bernama pic)
KIGALI:
Penunjuk perasaan yang berang menyerang dan membakar khemah di sebuah pusat rawatan Ebola di wilayah Ituri, timur Republik Demokratik Congo (DR Congo) dalam usaha menuntut mayat ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat penyakit itu, kata seorang pegawai tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Keganasan tercetus di Hospital Rwampara di pinggir Bunia, ibu kota wilayah Ituri, selepas keluarga mangsa Ebola menuntut mayat ahli keluarga mereka untuk dikebumikan sambil mempertikaikan laporan bahawa si mati meninggal dunia akibat Ebola, menurut pegawai tempatan Luc Malembe.

“Orang ramai berkumpul di luar hospital dan apabila permintaan mereka untuk menuntut mayat ahli keluarga ditolak, mereka membakar beberapa khemah yang menempatkan pesakit Ebola, menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran,” kata pegawai itu kepada pemberita di bandar Rwampara.

Malembe menyeru agar lebih banyak usaha kesedaran komuniti dilakukan bagi memberi kefahaman kepada penduduk mengenai penyakit itu

Penularan wabak itu secara rasmi diisytiharkan pada 15 Mei di wilayah Ituri, timur Congo.

Sejak itu, pihak berkuasa kesihatan Congo dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kira-kira 600 kes disyaki dan 139 kematian berkemungkinan.

Wabak itu kemudiannya merebak ke Kivu Utara dan Kivu Selatan. Dua kes import membabitkan warga Congo turut dilaporkan di negara jiran, Uganda.

Uganda telah menggantung penerbangan dari dan ke Congo sebagai usaha mencegah penularan virus itu.

Pada Khamis, Presiden Uganda Yoweri Museveni memberi jaminan kepada rakyat Uganda dan masyarakat antarabangsa bahawa situasi semasa Ebola kekal terkawal.

Ahad lalu, WHO mengisytiharkan wabak Ebola yang berpunca daripada strain Bundibugyo sebagai kecemasan kesihatan global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.