
“Laporan yang mendakwa Qatar ‘menawarkan’ USD12 bilion kepada Iran bagi memastikan pemeteraian perjanjian itu tidak berasas sama sekali dan disebarkan pihak yang cuba menggagalkan perjanjian serta melemahkan usaha diplomatik bertujuan meredakan ketegangan dan menggalakkan kestabilan di rantau ini.
“Peranan diplomatik Qatar, dengan penyelarasan bersama rakan serantau, telah lama terbukti dan didokumentasikan secara terbuka.
“Naratif seumpama itu tidak lebih daripada cubaan terdesak untuk mencemarkan reputasi Qatar sebagai pemudah cara keamanan antarabangsa yang dipercayai,” kata jurucakap Kementerian Luar, Majed Al Ansari di media sosial X.
Kenyataan itu menyusul beberapa pegawai kanan Iran mengunjungi Qatar susulan pelbagai usaha diplomatik untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan.
Ketegangan serantau memuncak pada 28 Feb lalu apabila AS dan Israel melancarkan serangan mengejut terhadap Iran, mendorong Tehran membalas dengan serangan dron serta peluru berpandu yang mengenai sasaran di seluruh rantau itu, selain menutup Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa 8 April lalu menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal mencapai perjanjian berkekalan.
Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata itu tanpa tempoh tertentu sambil mengekalkan sekatan terhadap kapal menuju ke atau dari pelabuhan Iran melalui laluan strategik itu.
Minggu lalu, beliau berkata, perjanjian itu “sebahagian besarnya telah dirundingkan” dan menunggu dimuktamadkan.