5 maut bom WWII meletup di Indonesia

5 maut bom WWII meletup di Indonesia

Tiga lagi dilaporkan hilang selepas sebutir bom meletup di Wilayah Papua, timur Indonesia, pada Ahad.

Polis berkata sebutir bom peninggalan zaman Perang Dunia Kedua meletup pada waktu petang di sebuah kampung padat dengan penduduk, yang turut menyebabkan kerosakan teruk pada rumah berhampiran.
JAKARTA:
Lima terkorban, manakala tiga lagi dilaporkan hilang selepas sebutir bom meletup di Wilayah Papua, timur Indonesia pada Ahad, menurut polis tempatan yang dipetik agensi berita Xinhua.

Polis memberitahu media tempatan, letupan itu berlaku pada waktu petang di sebuah kampung padat dengan penduduk, sekali gus mengakibatkan kerosakan teruk pada rumah berhampiran.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang terpaksa ditangguhkan pada waktu malam susulan kebimbangan terhadap kemungkinan terdapat sisa bom belum meletup di lokasi kejadian, kata pihak polis.

Letupan itu disahkan berpunca daripada sebutir bom peninggalan zaman Perang Dunia Kedua (WWII).

Pihak berkuasa mengepung kawasan berkenaan dan memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhkan diri sehingga lokasi itu diisytiharkan selamat.

Usaha mencari dan menyelamat dijangka disambung semula hari ini.

Jepun menyerang Indonesia pada awal 1942, mengakibatkan kemusnahan besar-besaran sepanjang tempoh pendudukan lebih tiga tahun.

Sehingga kini, sejumlah besar bahan letupan era peperangan belum ditemui dan terus menjadi ancaman keselamatan di beberapa kawasan di negara Asia Tenggara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.