
Ke mana sahaja kita pergi, pasti mata tidak terlepas pandang dari gerai atau kedai buah. Apatah lagi kini, musim buah durian.
Sungguhpun begitu, jangan ketinggalan menikmati buah-buahan lain yang memberi pelbagai khasiat untuk tubuh.
Betik, pisang, anggur, strawberi, daripada buah tropika hingga buah iklim sejuk, semuanya menawarkan manfaat yang tinggi.
Buah plum, juga salah sejenis buah masam manis yang menjadi pilihan ramai.
FMT Ohsem memetik laporan portal CNN mengenai manfaat dan khasiat buah berwarna merah hati ini.
Salah satu manfaat paling popular buah ini ialah, menurunkan berat badan selain terbukti kaya dengan gizi seperti vitamin, mineral, serat, dan antioksidan yang dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kronik.
Ia juga amat bermanfaat untuk mengelak sembelit dan osteoporosis.
Mari kita lihat khasiat dan nutrisi buah ini.

1. Kaya nutrisi
Plum memiliki nutrisi yang sangat tinggi kerana mengandung lebih 15 jenis vitamin dan mineral serta serat dan antioksidan. Buah ini juga rendah kalori.
2. Kaya antioksidan
Buah plum kaya dengan properti antioksidan yang dapat mengurangkan keradangan dan melindungi sel-sel dari kerosakan akibat radikal bebas.
Kajian menunjukkan buah plum mengandungi antioksidan polifenol yang tinggi. Antioksidan polifenol ini berguna untuk kesihatan tulang dan mengurangkan risiko penyakit jantung serta diabetes. Ia juga mengurangkan inflamasi dan mencegah kerosakan sel.
Plum juga mempunyai antioksidan aktif dikenali antosianin, ia mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser.
3. Baik untuk jantung
Pengambilan buah plum secara kerap melindungi jantung, mengurangkan tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol.
4. Meredakan sembelit
Plum juga mampu meredakan masalah sembelit kerana kandungan serat tidak larut yang tinggi dalam buah ini. Ia melancar proses buang air besar dalam saluran pencernaan.
5. Baik untuk tulang
Buah plum dikeringkan juga dapat meningkatkan kesihatan tulang di mana mengurangkan risiko rapuh tulang seperti osteoporosis dan osteopenia.
Plum mencegah tulang rapun keropos dan mengembalikan kondisi tulang yang sudah reput.
Plum juga meningkatkan kadar hormon yang baik untuk tulang.