
PETALING JAYA: Hasrat Yap Sue Yii, 28, pada awalnya untuk membantu pereka fesyen bagi menyerlahkan idea dan hasil kerja mereka kepada umum akhirnya bertukar menjadi projek komuniti membantu lebih 50 ibu tunggal dan suri rumah mencari sumber pendapatan.
“Pada mulanya saya hanya ingin membantu pereka fesyen tetapi kilang pula perlukan pesanan minimum 100 keping setiap rekaan sehingga saya terpaksa membuka tawaran kerja kepada ‘akak-akak’ (panggilan Yap kepada wanita-wanita tersebut) ini.
“Saya mengambil mereka yang mempunyai pengalaman menjahit dan kebanyakan dari mereka adalah dari kumpulan B40 iaitu ibu-ibu tunggal dan suri rumah yang perlukan pendapatan sampingan,” jelas Yap yang menjalankan projek amal ini bersama rakan perniagaannya Gan Teck Hooi.
Menurut Yap, dia sedar, inilah masa yang sesuai untuk membantu golongan ini yang kesemuanya mempunyai pengalaman menjahit. Dari situlah bermulanya Komuniti Tukang Jahit (KTJ).

“Pada mulanya kami cuba mencari peluang untuk membantu mereka dengan mencipta produk dan memberi upah yang berpatutan,” kata Gan, 40, yang juga mempunyai pengalaman dalam perunding perniagaan, jurulatih, peruncit dan fesyen.
Rancangan mereka adalah untuk menemui pihak yang berminat untuk membeli pelbagai barangan korporat dan hadiah premium seperti seperti pemegang kad, beg dan tali leher.
“Jika kami menerima pesanan yang banyak sehingga 500 keping, kami boleh membantu 10 keluarga. Inilah yang memberi semangat kepada kami untuk bekerja lebih keras kerana sekiranya kami mendapat pesanan dari syarikat korporat, kami bukan hanya membantu seorang wanita tetapi membantu 20 orang,” kata Yap.
Lebih mengujakan, kumpulan kecil ini kini bertukar menjadi lebih besar sebagai komuniti tukang jahit yang kesemuanya bergantung kepada pekerjaan dan pesanan dari Komuniti Tukang Jahit.

Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila pandemik Covid-19 menyerang di mana ramai yang kehilangan pekerjaan dan pergerakan mereka terbatas.
Tukang jahit di KTJ juga terkesan apabila kebanyakan dari suami wanita-wanita ini diberhentikan kerja dan ada yang hanya bergantung kepada pendapatan harian malah ada yang tidak mendapat pendapatan langsung semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ada seorang tukang jahit yang suaminya diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan. Dia kemudian terpaksa bekerja keras untuk menyara suami dan lima anaknya. Hasil usahanya menjahit di KJT dia berhasil menyara keluarganya selama tiga minggu.
“Wanita-wanita ini sememangnya menjadi tulang belakang kepada keluarga mereka. Malah, mereka juga berharap agar projek ini adalah projek jangka panjang dan dapat memberi pendapatan berterusan kepada mereka,” ujar Gan.
Menurut Gan lagi, dia dan Yap sedang bekerjasama dengan beberapa organisasi untuk mendapatkan sokongan perubatan, insurans, EPF dan Socso untuk wanita-wanita ini. Ia sedikit sebanyak dapat membantu wanita-wanita ini dan berharap ianya berjaya.

Berikutan dengan pandemik ini, had operasi telah diperketatkan, maka KTJ turut memikirkan beberapa cara untuk terus beroperasi.
“Dengan norma baru ini, kami turut mempelajari pelbagai cara baru untuk meneruskan pekerjaan. Ia merupakan pelajaran yang terbaik buat kami dalam menyelesaikan setiap cabaran,” jelas Yap.
“Sekarang, latihan diberi secara online yang juga satu perubahan baik kerana kami boleh membantu wanita-wanita di luar Lembah Klang juga. Itulah matlamat utama kami.” katanya lagi.
KTJ juga bekerjasama dengan Gerakan Wawasan Malaysia untuk menjahit pelindung muka dan menyumbangnya apabila terdapat permintaan yang besar untuk pelitup muka dan pelindung muka.
“Walaupun kami menyumbang pelitup dan pelindung muka, akak-akak kami masih mendapat upah. Ia adalah peluang untuk membuktikan bahawa tidak kira apa juga status kita, kumpulan B40 juga boleh membantu petugas barisan hadapan,” jelas Yap.

Sempena Deepavali ini, KTJ akan mengeluarkan pelitup muka edisi terhad. Ia bukan hanya untuk memberi keceriaan di saat ini malah untuk membantu ibu-ibu ini mendapatkan sumber pendapatan.
“Apabila kami memulakan KTJ, kami mahu menjadi unik dan bukan hanya menjadi pengeluar jenama fesyen semata-mata. Kami mahu KJT mewakilkan Malaysia dan Malaysia adalah sebuah negara yang penuh dengan warna-warni,” jelas Gan.
KTJ adalah yang pertama mencipta pelitup muka menggunakan batik. Ia juga telah mengeluarkan pelbagai produk lain seperti dompet diperbuat dengan bahan cheongsam untuk Tahun Baru Cina awal tahun ini.
“Untuk Deepavali, kami ingin mencipta suatu kelainan dan unik. Warna sari adalah sangat ceria dan kami mahu menjadikan ia keluaran edisi terhad kami,” tambah Gan lagi.

Semasa rencana ini ditulis, keluaran pertama telah habis dijual dan pesanan baharu pula masuk. Jika anda ingin melakukan pesanan untuk pelitup muka Deepavali edisi terhad ini, anda boleh melakukan di sini atau lawati laman Instagram mereka.
“Dengan membeli barangan ini, anda juga telah membantu ibu tunggal dan suri rumah yang kurang berkemampuan. Malah, anda pasti terkesan apabila dapat membantu ibu tunggal yang menyara tiga anaknya.
“Jualan adalah kunci untuk KTJ untuk terus berjaya, tanpa pesanan kami tidak dapat membantu wanita-wanita ini untuk mendapatkan pekerjaan,” jelas Yap.
Jika anda ibu tunggal dan mempunyai bakat menjahit, KTJ mengalu-alukan untuk anda menyertai komuniti mereka dengan melayari website mereka.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]