Sambutan Thaipusam dibatalkan, pembuat kavadi suram

Sambutan Thaipusam dibatalkan, pembuat kavadi suram

Situasi berbeza pada 2021 apabila acara meriah di Pulau Pinang mahupun di seluruh negara itu dibatalkan buat pertama kalinya setelah lebih satu abad diraikan berikutan situasi semasa Covid-19 di Malaysia.

Setiap tahun pembuat kavadi akan rancak menghasilkan kavadi hasil kreativiti mereka, tetapi tidak tahun ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pada kebiasaannya menjelang sambutan Thaipusam, pembuat kavadi di Pulau Pinang bekerja tanpa henti menyiapkan rekaan kavadi yang menarik untuk dibawa sekali gus mempamerkan hasil ketukangan luar biasa ketika perarakan penuh bermakna buat penganut agama Hindu.

Bagaimanapun, situasi berbeza pada 2021 apabila acara meriah di Pulau Pinang mahupun di seluruh negara itu dibatalkan buat pertama kalinya setelah lebih satu abad diraikan berikutan situasi semasa Covid-19 di Malaysia.

Seorang pembuat kavadi C Muniswaren, 40, berkata kebiasaannya kawan-kawan dan pelanggan tetap memintanya mereka cipta dan membuat kavadi sekurang-kurangnya sebulan sebelum sambutan Thaipusam, namun tidak pada tahun ini.

“Bulan lepas (Disember 2020), saya tidak menerima sebarang permintaan membuat kavadi untuk Thaipusam tahun ini,” katanya.

Mempunyai pengalaman 13 tahun serta kemahiran dalam pembuatan kavadi, Muniswaren biasanya membuat antara enam hingga lapan kavadi setiap tahun dan mengambil masa dua minggu hingga satu setengah bulan untuk disiapkan, bergantung kepada kerumitan rekabentuk yang diminta pelanggan.

Muniswaren berkata hasil kerjanya dipamerkan oleh pembawa kavadi di Pulau Pinang ketika perayaan Thaipusam dari Lorong Kulit, Queensbay dan bahkan di Seberang Perai.

Berikutan pembatalan sambutan Thaipusam di Pulau Pinang tahun ini, Muniswaren beralih tumpuan kepada persiapan upacara sembahyang di rumah.

“Saya berharap pandemik ini berakhir tidak lama lagi agar semua dapat meraikan Thaipusam seperti biasa dan kembali membawa kavadi dalam perarakan,” katanya.

Seorang lagi pembuat kavadi di Pulau Pinang yang berdepan nasib sama R Ramesh, melahirkan kekecewaan kerana tidak dapat menunjukkan bakatnya dalam mereka cipta kavadi susulan pembatalan sambutan Thaipusam tahun ini.

Pengukir berusia 51 tahun itu berkata tahun lepas, dia membuat sekurang-kurang 10 kavadi kepada pelanggan yang mana rekabentuk paling mudah ditempah berjaya disiapkan dalam masa satu hari sahaja.

“Sepanjang 30 tahun membuat kavadi, ini adalah kali pertama saya tidak menerima sebarang tempahan daripada pelanggan meminta saya membuat kavadi untuk Thaipusam.

“Bagaimanapun, (pembatalan sambutan Thaipusam) tidak dapat dielakkan dan kita perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan, jadi saya anggap ini adalah percutian bersama keluarga,” katanya.

Dia juga berharap harapan akan lebih cerah agar pandemik Covid-19 di Malaysia berakhir dan sambutan Thaipusam dapat dirai semula pada masa depan.

Timbalan Ketua Menteri II Prof P Ramasamy pada 8 Jan lepas, mengumumkan pembatalan aktiviti sempena sambutan Thaipusam tahun ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang.

Ramasamy yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) berkata aktiviti sambutan adalah dilarang termasuk perarakan kereta perak dan emas, penganut membawa periuk susu atau kavadis, pecah kelapa dan mencukur rambut dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

Bagaimanapun, dua kuil utama iaitu Nattukottai Chettiar dan Hilltop Arulmigu Balathandayuthapani dibenarkan menjalankan upacara sembahyang pada hari perayaan Thaipusam namun, hanya dilakukan oleh ahli jawatankuasa di dua kuil berkenaan sahaja dengan mengikut SOP ditetapkan.

Penganut Hindu diminta mengadakan upacara sembahyang di rumah masing-masing.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.