
Sedar akan tanggungjawab sebagai warga korporat yang prihatin, City University Malaysia (CITYU) tampil memberi bantuan kepada golongan Asnaf dan B40 dengan menawarkan pakej bantuan khas yang diberi nama Bantuan Prihatin CITYU.
Sebagai salah sebuah perintis dalam sektor pendidikan tinggi swasta Malaysia, City University Malaysia (CITYU) merasakan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu mengurangkan beban dan kesukaran golongan ini akibat pandemik Covid-19.
Melalui program ini, CITYU akan memberi peluang kepada mereka yang terjejas pengajian tinggi masing-masing akibat pandemik COVID-19 untuk mendaftar dan memulakan pengajian sesi pengambilan Februari 2021 di CITYU tanpa perlu mengeluarkan sebarang yuran pendahuluan.
Pelajar boleh memohon pinjaman PTPTN sehingga 100% atau mendapat biasiswa dari CITYU atau bantuan kewangan daripada pihak ketiga seperti MARA, Zakat Selangor, Penang Future Foundation, Malaysia Rubber Council, dan sebagainya, mengikut kelayakan masing-masing.

Menurut naib Canselor CITYU, Prof Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, CITYU percaya perlaksanaan dasar dan agenda yang terkandung dalam Pelan Pendidikan Nasional yang berlandaskan lima aspirasi, Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan pastinya terkesan terutama di saat-saat genting seperti sekarang ini.
“Hanya dengan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta akan dapat membantu menyentap balik hala tuju dasar ini ke titik capai asalnya,” katanya.
Tambah beliau yang juga mantan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, “Sebagai entiti pendidikan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan SELIA, salah sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan Malaysia terkemuka milik Bumiputera, CITYU sentiasa berpegang teguh kepada aspirasi Kumpulan SELIA untuk memajukan sebuah institusi pendidikan milik Bumiputera yang menetapkan penanda aras baru dalam industri pendidikan tinggi, sejajar dengan aspirasi Dasar Pendidikan Negara.”
“Oleh itu, adalah niat kami melalui tawaran Bantuan Prihatin PKP CITYU ini untuk menghulurkan bantuan yang praktikal dan bersesuaian bagi membantu pelajar-pelajar yang layak, agar masa depan generasi pelajar lepasan SPM ini tidak terjejas,” ujarnya lagi.
Selain itu, menurut beliau, selaras dengan matlamat CITYU membuka peluang pengajian tinggi berkualiti kepada rakyat Malaysia, kesemua 68 program yang ditawarkan dari 8 fakulti adalah mampu dijangkau.
Malah katanya, pihak universiti turut memastikan agar kaedah pembelajaran norma baharu yang dilaksanakan tidak menghalang kualiti pendidikan pelajar-pelajar.
Untuk itu, bagi mereka yang layak, CITYU turut menawarkan bantuan komputer riba percuma supaya mereka dapat mengikuti kelas dalam talian sebagai satu norma baru pandemik.
Oleh kerana, kebanyakan program CITYU boleh dilaksanakan secara dalam talian, ia juga boleh dibuat secara separuh masa.
Kerjasama erat dengan industri yang sedia terjalin dengan lebih 50 rakan strategik dari pelbagai bidang dan industri akan dimanfaatkan bagi membolehkan pelajar mendapat penempatan latihan industri atau bekerja sambilan.
“Pendedahan ini boleh meningkatkan kebolehpasaran mereka dengan pengalaman kerja yang relevan,” jelas beliau lagi.
Sesungguhnya, keprihatinan City University Malaysia terhadap golongan Asnaf dan B40 ini wajar dipuji.
Bantuan Prihatin PKP ini terbuka kepada lepasan SPM dan Diploma yang layak, untuk meneruskan pembelajaran mereka bermula dari sekarang sehingga penutupan pengambilan pada 21 Februari 2021.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.city.edu.my/bantuanpkp; atau hubungi talian tetap di +603 7949 1616 atau email [email protected] untuk sebarang pertanyaan.
City University adalah universiti swasta di Selangor, Malaysia yang ditubuhkan pada April 1984 oleh sekumpulan cendekiawan di universiti awam dan luar negara. Program yang ditawarkan mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia.
City University adalah salah sebuah universiti di Malaysia yang diiktiraf secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China. Menurut penilaian kerajaan Malaysia SETARA universiti Malaysia pada tahun 2017, CityU dinilai sebagai 4- Bintang atau “Sangat Baik”.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]